Categories
SELANGOR

MB : Gaji rendah sukarkan pemimpin bantu rakyat

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 13 DIS : Gaji bulanan yang rendah akan menyukarkan  wakil rakyat untuk menyalurkan bantuan serta perkhidmatan secara efektif kepada rakyat di kawasan masing-masing, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

sidang dun 01Beliau berkata, terdapat wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak berkhidmat dengan badan profesional untuk meraih sumber pendapatan, tetapi menjadikan politik sebagai pekerjaan tetap mereka.

Katanya, perkara itu menyebabkan berlakunya insiden tidak diingini apabila wakil rakyat didapati menggunakan cara salah untuk meraih kesenangan dengan cara mudah.

“Saya meraih kurang RM12,000 sebulan sebagai Ahli Parlimen dan pendapatan itu digunakan untuk membantu penduduk di kawasan Bandar Tun Razak.

“Tetapi saya bertuah kerana masih mampu bertahan, namun bagaimana pula dengan wakil rakyat muda yang baru sahaja ingin berjinak-jinak dengan dunia politik dan tidak mempunyai pendapatan besar?

“Perkara ini yang akan menyebabkan ketelusan dalam sesebuah pentadbiran itu tidak dapat dilaksanakan,” katanya dalam satu sesi temuramah bersama radio bisnes, BFM 89.9, semalam.

Menyedari hal itu, Abdul Khalid berkata, kerajaan Selangor bersetuju untuk menaikkan gaji  Exco, Speaker dan timbalannya serta semua 56 ADUN daripada Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, kenaikan itu adalah selaras dengan keperluan rakyat yang semakin meningkat di setiap DUN dan diyakini mampu meringankan beban wakil rakyat yang bertanggungjawab.

“Saya mahu tunjukkan contoh ini kepada kerajaan pusat. Sebenarnya,  menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu wakil rakyat mereka terutama daripada sudut perkhidmatan seperti yang dilakukan di Jerman dan United Kingdom,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.