Categories
SELANGOR

Selangor, SPAN jalin kerjasasama, pastikan air bersih cukup

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 12 DIS: Kerajaan Selangor memberi jaminan bahawa bekalan air bersih di negeri itu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putra Jaya mencukupi sehingga tahun 2016.

Jaminan itu diberikan apabila Kerajaan Negeri sebelum ini sudah pun melaksanakan program mitigasi air untuk menambah kapasiti bekalan air terawat bagi menampung permintaan pengguna sehingga sekurang-kurangnya sebelum Loji Rawatan Air Langat 2 dilaksanakan.

MB Pc EXCO 13FEB 2013 01Justeru itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Selangor meminta agar Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mempertimbangkan semula permohonan untuk meluluskan pembangunan di Selangor.

“Kerajaan Selangor dan SPAN bersetuju untuk bekerjasama bagi menyelesaikan masalah pembangunan tertangguh yang melibatkan 878 projek baharu yang ditolak atas alasan kekurangan bekalan air.

“Kata sepakat untuk berkerjasama ini dibuat selepas satu mesyuarat yang diadakan pada 3 Disember lepas di mana perwakilan SPAN telah diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Teo Yen Hua,” Kata Abdul Khalid selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Katanya lagi, dalam mesyuarat itu SPAN menyatakan kesediaan bagi mempertimbangkan semula semua permohonan merancang di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang ditangguhkan ekoran pandangan dan unjuran yang diperolehi SPAN menunjukkan akan berlaku kekurangan bekalan air selepas projek terbabit disiapkan.

Sebagai balasan kepada SPAN, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi indemniti ke atas sebarang tindakan atau tuntutan ganti rugi oleh pemaju ke atas SPAN akibat dari ketidakupayaan Kerajaan Negeri membekalkan air dalam kuantiti dikehendaki pemaju.

“Aku janji ini berkuat kuasa sehingga 30 Jun 2014 namun tidak terpakai sekiranya kegagalan membekal air adalah berpunca dari ketidakupayaan dan kecuaian operator air serta kegagalan agensi perakuan yang dilantik SPAN untuk bertindak secara profesional,” kata Abdul Khalid lagi.

SPAN juga dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri sedang dalam proses mengambil alih industri perkhidmatan air di Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya apabila Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air melalui surat bertarikh 9 September 2013 mengarahkan agar perkara ini dimuktamadkan sebelum atau pada 31 Disember 2013.

-EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.