Categories
KENYATAAN MEDIA

Sembah tahniah ulang tahun ke-68 Keputeraan Sultan Selangor

Sembah tahniah sempena ulang tahun ke-68 Keputeraan Sultan Selangor Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Dari jauh menjunjung duli
Sudah dekat langsung menyembah
Terangkat tangan sepuluh jari
Memuliakan Sultan yang dikasihi Allah.

Menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj,
Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj; Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya,
Yang bersemayam di Istana Mestika Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, negeri yang maju, aman dan bahagia serta mendapat keberkatan dan kesejahteraan daripada Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Yang Maha Mengasihani.

Ampun Tuanku
Sembah Patik Mohon Diampun.

sultan selangor 1Sempena sambutan Ulang Tahun Yang Ke-68 Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, pada 11 Disember 2013, bersamaan 8 Safar 1435 Hijrah, patik, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim, selaku Dato’ Menteri Besar Selangor, memohon kurnia menyampaikan sembah tahniah bersalut ikrar taat dan setia daripada barisan kepemimpinan Kerajaan Negeri beserta lebih 5.5 juta rakyat yang pelbagai bangsa, agama, fahaman dan tahap pendidikan, warga jati mahupun bukan.

Dirgahayu baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hari ini (11 Dis) genap 12 tahun Duli Tuanku memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan. Segala pujian dan sanjungan sekalian rakyat kepada Duli Tuanku yang menjadi payung mahkota bagi sekalian rakyat Selangor hidup dalam suasana bersatu dan muhibah.

Bagi patik-patik sekalian, Duli Tuanku adalah Ketua Agama Islam yang cekatan terhadap hukum dan peringatan, namun toleran pada agama selain Islam; Duli Tuanku sedia mencemar duli mendengar masalah, menitikberatkan pembangunan masyarakat dan adat, bersikap selesa bertemu rakyat tua dan muda, prihatin terhadap pembangunan sukan dan ehwal pentadbiran negeri.

Bagi menguruskan pentadbiran negeri ini, patik beserta 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri sentiasa berpegang pada sumpah setia untuk melaksanakan amanah rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13, dengan ikrar untuk meneruskan kecemerlangan pada penggal kedua pentadbiran ini dengan lebih tersusun, kemas dan bermutu; memantapkan program, skim dan insentif dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor yang terbukti berkesan, di samping menunaikan janji dalam manifesto PRU Ke-13 secara berperingkat, demi kemaslahatan rakyat Duli Tuanku tanpa mengira perbezaan bangsa, agama, budaya, fahaman, ragam atau minat.

Akhirulkalam, patik-patik sekalian mendoakan kesihatan berpanjangan ke bawah Duli Tuanku beserta putera-puteri dan kerabat. Semoga Duli Tuanku selamat sejahtera bersemayam di atas tahta dalam lindungan dan keredaan Allah Yang Maha Pemberi Darjat dan Maslahat.

Ampun Tuanku.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Leave a Reply

Your email address will not be published.