Categories
NASIONAL

Akta Percetakan dan Penerbitan ‘senjata’ BN sekat media

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 3 JAN: Kerajaan pusat secara berterusan menggunakan undang-undang menyekat kebebasan bersuara dan media melalui Akta Percetakan dan Penerbitan yang dijadikan ‘senjata’ dan ‘bom’ bagi mengawal tindak tanduk media.

Ketua Koordinator JINGGA 13, Fariz Musa, berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dijadikan alat BN untuk mengugut wartawan dan pengamal media seterusnya mengawal kebebasan serta hak bersuara demi menjayakan misi itu.

Fariz MusaKatanya, akta terbabit perlu dikaji serta dipinda supaya selari dengan hak kebebasan media seperti tuntutan dalam memorandum kepada Menteri Dalam Negeri daripada pelbagai pihak yang mahu kerajaan pusat menghapuskan permit penerbitan.

“Tindakan kerajaan yang mengantung The Heat adalah tindakan yang tidak demokratik dan anti kebebasan media.

“Apa juga alasan Kementerian Dalam Negeri (KDN), rakyat tetap melihat bahawa penyiaran atrikel yang mengkritik Perdana Menteri dan isteri beliau berkenaan perbelanjaan mewah serta boros menyebabkan The Heat terus digantung. Sehingga kini, KDN masih gagal membebaskan The Heat,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Fariz turut meminta rakyat Malaysia, pencinta demokrasi dan kebebasan bersuara menyertai Himpunan Pensil Merah, pada 4 Januari ini (esok).

“Kita juga menyatakan sokongan terhadap himpunan itu, ia sebagai satu tanda manifestasi kebebasan media dan bersuara yang meraikan amalan demokrasi serta menolak amalan authokrasi BN.

Sementara itu, wartawan tanpa sempadan, Hata Wahari berkata, akta itu perlu dihapuskan kerana sudah ketinggalan zaman dan kebanyakan negara seperti Nepal dan Myanmar sudah melaksanakan penghapusan berkenaan.

Hata WahariBeliau yang juga bekas wartawan kanan Utusan Malaysia berpendapat, BN masih bermentaliti dunia ketiga kerana bertindak mengawal semua perkara termasuk media.

“Negara lain sudah jadi negara pertama dalam kebebasan media, tetapi mentaliti BN masih dunia ketiga untuk mahu mengawal semua perkara.

“Akta itu akan terus berkuatkuasa selagi BN berkuasa di Malaysia. Satu cara untuk memastikan kebebasan media adalah dengan menjatuhkan BN dalam pilihanraya akan datang.

“Usaha itu perlu dilakukan bagi memberi kesedaran kepada rakyat bahawa mereka tidak akan mendapat maklumat yang sebenar dan tepat selagi BN berkuasa dan akta ini terus menguasai serta menindas pengamal media,” katanya.

Kajian Reporters Without Borders menunjukkan Malaysia adalah negara yang tidak demokratik dan mengekang kebebasan media daripada tangga ke 123/179 pada tahun 2012, semakin menurun di tangga 145/179 pada tahun 2013.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.