Oleh : NAZLI IBRAHIM
PETALING JAYA 27 JAN: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar satu dialog diadakan bagi membincangkan isu perpaduan agama dan bangsa, tadbir urus, ketelusan dan kebertanggungjawaban bagi mencapai penyelesaian yang dinamakan sebagai Konsesus Nasional.
Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menganjurkan agar isu penting lain seperti rasuah yang membarah, keselamatan rakyat dan peningkatan kos sara hidup dibincangkan dengan merentasi batas kepartian.
Anwar berkata, dialog ini sangat penting berikutan terdapat sesetengah pihak yang sengaja memanaskan isu sensitif kalimah Allah dan perkauman yang menurutnya mampu mencetus kepada keadaan yang tidak diingini sekiranya terus dibiarkan berlarutan.
“Kita tidak boleh leka. Ini kerana kita sedang menyaksikan tindakan beberapa pihak yang sedang berusaha sedaya upaya untuk membawa negara ke ambang kemusnahan.
“Kita sebenarnya belum menyaksikan usaha sebegini rupa semenjak kejadian-kejadian yang berlaku sebelum tercetusnya tragedi 13 Mei 1969.
“Suara-suara kebencian dan kemarahan, suara-suara berprasangka buruk dan penuh syak wasangka, dan suara-suara kemusnahan dan kebobrokan yang cuba menghancurkan leburkan keharmonian, kerjasama dan persefahaman yang telah kita bina dari runtuhan tragedi ini,” kata Anwar.
Beliau turut menggesa agar pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) mengenepikan isu kepartian dan menunjukkan semangat kepimpinan sejati untuk meleraikan ketegangan yang wujud dan berusaha memperbaiki keadaan.
“Adalah menjadi tanggungjawab moral kita, khusus di kalangan kita yang dipilih mewakili rakyat untuk melangkaui batas kepartian dan berganjak menuju suatu konsesus nasional demi membawa Malaysia ke hadapan,” kata Anwar ketika menyampaikan perutusan khas sebelum mengadakan forum Dialog Anak Muda Bersama Anwar Ibrahim di Sunway Resort Hotel & Spa petang semalam.
Ketika menyentuh isu peningkatan kos sara dan keselamatan, Anwar berkata isu terbabit melibatkan semua kaum tanpa mengira idealogi politik yang menjadi seseorang.
“Marilah kita berganding bahu meningkatkan kebajikkan rakyat dan mencari jalan penyelesaian yang tidak terus mendatangkan beban.
“Daripada kita mengutuk isu-isu keselamatan negara berdasarkan khayalan kita, marilah kita membantu pasukan polis untuk membenteras jenayah dan dengan langsungnya membuatkan tempat tinggal kita, sekolah kita, malah pusat membeli belah kita lebih selamat,” kata Anwar lagi.
Sementara itu dalam forum Dialog Anak Muda Bersama Anwar Ibrahim yang diadakan selepas itu, Anwar menjawab tidak kurang 20 soalan yang meliputi pelbagai isu khususnya berkaitan isu anak muda.
Ketika menjawab salah satu soalan, Anwar menganggap pihak yang menggesa masyarakat Cina dan India agar ‘balik’ ke negara India dan China sekiranya tidak berpuas hati dengan Kerajaan BN sebagai kenyataan tidak waras.
“Ini kenyataan yang menghina rakyat, tidak waras. Kalau begitu, sesiapa yang tak suka Kerajaan Selangor sila keluar dari Selangor,” kata Anwar di hadapan hampir 200 hadirin dan turut disaksikan secara langsung di seluruh dunia menerusi siaran langsung di portal TVSelangor.
EZY