Categories
NASIONAL

Chegubard buat laporan polis terhadap fitnah Amar Singh

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin membuat laporan polis terhadap Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh berhubung fitnah mengaitkan namanya sebagai penganjur himpunan yang didakwa ingin menggulingkan kerajaan, pada 31 Disember lalu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, tindakan undang-undang terpaksa diambil selepas pihaknya sudah menghantar surat kepada Amar untuk berbincang namun sehingga kini tiada maklum balas, pada 4 Januari lalu.

Katanya, fitnah yang dibuat dalam satu sidang media pada 28 Disember lalu dilihat bertujuan untuk mewujudkan kebencian dan kekacauan awam.

badrul sharin“Selepas memfitnah saya selaku penganjur himpunan menggulingkan kerajaan, polis melalui laporan Buletin Utama TV3 juga kononnya menemui bom tangan buatan sendiri dan membuat tangkapan di Ampang.

“Tangkapan itu cuba dikaitkan dengan saya dan difitnah sebagai penganjur himpunan menggulingkan kerajaan,” katanya kepada media di depan Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis didesak untuk mendedahkan siapa yang ditahan dan status kes berkenaan disebabkan kejadian sama juga berlaku semasa Himpunan Bersih.

Katanya, polis juga perlu menyiasat fitnah kononnya terdapat anggota polis cedera dipukul pada Himpunan Turun dan sebaran gambar palsu yang turut disiarkan dalam laman sosial rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Gambar palsu itu jelas dikutip daripada media sosial pro-parti kerajaan. Bagaimana ini berlaku, adakah media PDRM mengikut telunjuk media propaganda parti kerajaan.

turun“Ini jelas berlaku ketika Himpunan Bersih 3.0 apabila saya sendiri dipukul kerana membalas dendam terhadap rakan mereka yang kononnya mati. Berita kematian palsu ini dimulakan oleh media pro kerajaan yang menyebabkan ratusan polis tertipu,” katanya.

Selain itu, beliau turut mendesak polis mencari pemain siber yang menyebarkan fitnah kononnya artis Najwa Latif diraba pada sambutan malam tahun baru.

Kenyataan itu dimuat turun menerusi akaun Twitter Najwa Latif, namun beliau sendiri menafikan perkara berkenaan melalui rancangan Melodi.

Selain isu penganjuran Himpunan Turun ‘Bantah Kenaikan Harga Barang’, Chegubard turut dipanggil memberikan keterangan di IPD Dang Wangi berhubung kehadiran pada malam pelancaran kempen ‘Faham GST, Tolak GST’ yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.

Dalam keterangan tersebut beliau menyatakan, kehadirannya atas jemputan sebagai pengacara majlis dan beliau merasakan program berkenaan tidak menimbulkan sebarang masalah dan berlangsung aman.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.