Oleh : NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 24 JAN: Barisan Nasional (BN) sekali lagi ‘mencapati’ janji yang ditabur ketika kempen Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) apabila hanya membayar RM100 sahaja untuk bantuan persekolahan bagi setiap murid berbanding janji yang dinyatakan dalam manifesto RM150.
Keadaan itu bukan sahaja membuktikan BN bukan parti yang boleh dipercayai, tetapi turut menunjukkan sikap BN yang lebih mengutamakan kepentingan syarikat kroni mereka berbanding rakyat ketika kerajaan berhadapan dengan krisis hutang.
Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, berkata BN harus memikirkan golongan ibu bapa berpendapatan rendah dan sederhana yang terpaksa berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup dan menanggung bebanan perbelanjaan awal musim persekolahan serentak.
“Kalau kita amati, kira-kira tujuh hingga lapan bulan sejak PRU-13 belum ada satu manifesto BN yang ditunaikan. Sehingga kini, BN hanya melengah-lengahkan dengan memberi alasan atau melaksanakan sebahagian sahaja yang tidak menepati manifesto.
“Lebih teruk yang perlu diberi perhatian oleh rakyat, bukan janji tidak ditunaikan tetapi rakyat dibebankan dengan cukai baru, kata ingin turunkan tol tetapi mahu menaikkannya, selain mengurangkan subsid.
“BN sebenarnya sudah hilang maruah sepenuhnya di mata rakyat kerana tidak sampai setahun berkuasa, janji yang mudah seperti bantuan persekolahan RM100 tidak dapat ditunaikan, apatah lagi janji lain yang lebih besar,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, semalam.
Rafizi berkata, tidak hairan apabila bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin sendiri meramalkan BN akan kehilangan kuasa jika pilihan raya umum diadakan dalam jangka masa terdekat.
“Rakyat pasti tidak yakin lagi terhadap manifesto yang dibuat BN jika ada pilihan raya pada masa ini sebab rekod parti itu dalam menunaikan janji dalam manifesto PRU-13 begitu buruk sekali,” katanya.
Baru-baru ini, kerajaan pusat mengumumkan para ibu bapa boleh mengambil wang bantuan persekolahan sebanyak RM100 bagi murid sekolah rendah dan menengah mulai minggu ini.
Bagaimanapun, jumlah itu berbeza dengan yang dijanjikan dalam manifesto PRU-13 BN, ‘Menepati Janji, Membawa Harapan’ sebanyak RM150 di bawah langkah menangani kos sara hidup.
Sebelum ini, BN juga memungkiri janji apabila cuba menaikan kadar tol berbanding janji dalam manifesto untuk menurunkannya secara berperingkat, namun ia ditangguh apabila mendapat tentangan hebat Pakatan Rakyat (PR) dan pengguna jalan raya.
-NFN-