Categories
NASIONAL

Protes Pensel Merah suatu ‘keberanian baru’ – A Samad Said

Oleh AFIX REDZUAN

SHAH ALAM  2 JAN: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menyifatkan penganjuran Protes Pensel Merah membabitkan pengamal media portal berita utama di Malaysia sebagai suatu ‘keberanian baru’.

Menyambut baik penganjuran program anjuran Gerakan Media Marah (GERAMM) itu, beliau menganggap mereka yang terlibat sebagai wira baru yang menyuarakan hak pembaca marhaen.

Katanya, kelahiran wira baru khususnya dalam kalangan pengamal media anak muda perlu dalam memahami kepentingan kebebasan media demi masa depan.

“Ini keberanian baru oleh sebab selama ini kita hanya mendengar berita tentang tekanan sahaja. Amat jarang kita mendengar secara terbuka tentang perlawanan (bantahan).

“Saya fikir itu harus digalakkan dan saya sambut baik,” katanya kepada Selangor Kini.

Copy of geram-poster

Protes Pensel Merah dijadual diadakan depan bangunan Majlis Peguam, Kuala Lumpur, bermula jam 2 petang, pada 4 Januari ini.

Bantahan itu susulan penggantungan akhbar minggu berbahasa Inggeris, The Heat, selain membawa lapan tuntutan berkaitan kebebasan media di Malaysia.

Beliau yang dikenali sebagai Pak Samad dan pernah memimpin sidang editorial Berita Harian pada era 70-an, bagaimanapun percaya penganjuran sedemikian bakal berdepan tohmahan kononnya ada agenda tertentu.
– EZY FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.