Oleh: Lizawati Madfa
KAJANG 18 FEB : Seringkali diserang dengan pelbagai dakwaan tidak masuk akal, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan lawannya sebagai meroyan.
Anwar berkata menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, dirinya kini dikaitkan pula dengan pelbagai dakwaan baru termasuk penglibatan dalam Operasi Lalang, peristiwa hitam 13 Mei serta yang terbaru dakwaan menyamakan undi kepadanya ke arah ‘kerajaan pro-Amerika’.
“Sekarang ini, sahabat saya Tun Mahathir bangkit pula dan kaitkan kononnya jika saya menang di DUN Kajang maka menanglah Amerika.
“Kadang-kadang saya kasihan, kadang-kadang saya rasa mahu ketawa pula.
“Sebenarnya, malas nak layan tetapi nanti orang pula bertanya. Tetapi nak jawab macam mana tak tahu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu majlis hi-tea yang diadakan di kediaman Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Norlela Ariffdi petang semalam.
Sebelum ini, Mahathir mendakwa jika kemenangan diberikan kepada Anwar, bermakna rakyat mahukan sebuah kerajaan yang pro-Amerika.
Selain itu, Anwar juga menangkis dakwaan kononnya beliau berminat untuk membolot kekayaan negeri Selangor dengan mahu menjadi ADUN.
“Dulu saya lapan tahun jadi Menteri Kewangan tiada pula dakwaan dibuat pada hal rizab ketika itu lagi banyak,” katanya lagi.
EZY