Oleh : NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 4 FEB: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mula menggerakkan pasukan khas untuk bertemu masyarakat akar umbi di Kajang bagi tujuan mengenal pasti isu penting yang perlu diselesaikan Datuk Seri Anwar Ibrahim jika memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, berkata pasukan itu mula digerakkan sejak tiga hari lalu membabitkan pemimpin masyarakat setempat sekitar Kajang.
“Pelbagai isu yang kita kenal pasti antaranya membabitkan peniaga kecil khususnya Melayu dan bagaimana mereka dapat menjalankan perniagaan dengan lebih baik, selain isu lokasi perniagaan. Semua perkara itu akan kita kaji.
“Keputusan kajian ini mungkin boleh diperoleh dalam masa beberapa hari sebelum bermulanya kempen PRK Kajang,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, semalam.
Menyentuh strategi ketika berkempen nanti, Rafizi memberitahu PKR akan menekankan sentuhan peribadi dengan bertemu seramai mungkin pengundi di Kajang.
Katanya, PKR juga akan membuka akaun di laman sosial bagi mendapatkan maklum balas terhadap sebarang masalah yang berlaku di Kajang.
Rafizi berkata, beliau turut melahirkan keyakinan terhadap Anwar serta pasukan kerjanya yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarkat di Kajang berdasarkan pengalaman sebagai wakil rakyat selama 34 tahun.
Tinjauan yang dijalankan Selangor Kini di Kajang juga mendapati penduduk Kajang menyambut baik dan mengalu-alukan Anwar sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu.
-NFN-