Categories
SELANGOR

Dr Hatta: Kempen BN di media perdana lebih ‘menjolok mata’

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 12 FEB: Kehadiran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kajang tidak sepatutnya dijadikan isu sebagai kempen awal berikutan teknikalnya beliau belum dicalonkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang.

Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS bagi PRK Kajang, Dr Mohd Hatta Ramli, berkata pada masa sekarang kehadiran Anwar di Kajang sebagai menjalankan aktiviti rutin kepartian seperti yang dijalankan sepanjang masa.

1897816_692497020795459_192313422_n“Anwar juga diserang hampir setiap hari di media perdana walau tidak ada pilihan raya sekalipun,” kata Dr Hatta ketika dihubungi Selangor Kini.

Justeru itu, Dr Hatta menyeru agar pihak berkuasa mengambil sikap lebih rasional, adil kepada semua pihak dan tidak terburu-buru dalam mengambil tindakan.

“Lagipun kalau banding di televisyen, kempen (BN) berjalan terus dan lebih nasional lagi. Kempen mereka lebih menjolok mata.

“Tetapi nampaknya mereka fokuskan kepada program kecil yang cuma dihadiri beberapa ratus orang sahaja, sedang di televisyen ditonton beratus ribu atau mungkin berjuta,” katanya.

Sebelum ini media milik Umno melaporkan beberapa penduduk di Kajang membuat laporan polis terhadap Anwar kerana dianggap berkempen awal.

Mengulas isu sama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengatakan Anwar tidak melanggar undang-undang pilihan raya kerana ketua pembangkang itu secara teknikalnya masih belum sah sebagai calon.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.