Oleh : AFEEQA AFEERA
SHAH ALAM, 13 FEB : DYMM Sultan Selangor, Sultah Sharafuddin Idris Shah menyeru rakyat memanfaatkan Perpustakaan Raja Tun Uda di sini sebaik-baiknya agar dapat meluaskan fikiran dalam usaha membentuk negeri maju dan sejahtera.
Baginda bertitah kemajuan Selangor bermula daripada rakyatnya yang mempunyai pemikiran waras serta ilmu pengetahuan mendalam berdasarkan pembacaan buku yang boleh meluaskan minda.
Titah Baginda setakat ini, Perpustakaan Raja Tun Uda banyak mengumpul bahan bacaan merangkumi pelbagai subjek yang boleh dijadikan rujukan oleh rakyat Selangor.
“Perpustakaan Tun Raja Uda bertambah maju dan menepati cita-cita Beta supaya selangor ini mempunyai perpustakaan mengandungi gedung ilmu untuk digunakan seluruh rakyat.
“Beta menyeru kepada badan korporat, badan berkanun dan juga mereka yang mempunyai kemampuan boleh menderma buku kepada Perpustakaan Tun Raja Uda ini.
“Biarpun sumbangan mereka itu satu, dua atau tiga tetapi buku itu mesti boleh memberi penerangan dan pengetahuan kepada mereka yang membacanya,” titah Baginda.
Sultan Selangor bertitah demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penyerahan Buku tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada Perpustakaan Raja Tun Uda di Seksyen 13, di sini, hari ini.
Dalam majlis itu sebanyak 330 buah buku merangkumi buku kejuruteraan dan teknikal (308) serta buku pembangunan kanak-kanak (22) termasuk 10 unit komputer diserahkan kepada perpustakaan berkenaan.
Dalam pada itu, Sultan Selangor menitahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab supaya menyediakan pengangkutan awam bersesuaian untuk kegunaan orang ramai ke perpustakaan itu.
Baginda bertitah sekiranya masalah ini tidak diambil perhatian, ia akan menimbulkan kesulitan kepada pengunjung untuk datang ke perpustakaan sekaligus menyebabkan perpustakaan berkenaan menjadi ‘white elephant’.
“Beta berharap pihak Majlis Bandaraya atau pihak pengangkutan awam dapat memberi perhatian dan kerjasama dalam perkara ini supaya kemudahan rakyat Selangor yang ingin berkunjung ke perpustakaan dapat dipermudahkan,” titah Sultan.
Baginda turut bertitah supaya pembinaan fasa kedua dan ketiga perpustakaan berkenaan hendaklah disegerakan bagi menampung bilangan pengunjung yang semakin bertambah di situ.
EZY