Oleh: AFIX REDZUAN
PETALING JAYA, 10 FEB: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menganjurkan pertandingan Anugerah Guru Hari Pengguna Malaysia (HPM) 2014 untuk mencari guru bergerak aktif dalam pendidikan kepenggunaan di negara ini.
Ketua Perhubungan Korporat Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kategori ini diadakan terbuka kepada semua guru di kecuali Guru Besar, Pengetua, Guru Kanan 1 dan Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum.
Katanya, Pertandingan Kepenggunaan HPM 2014 merupakan acara tahunan kali ke-13 dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Ia turut disokong pelbagai pihak lain seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Standards Malaysia, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Mohd Yusof berkata, untuk pelajar yang menyertai pertandingan ini, mereka akan diberikan sijil penyertaan dan diperakui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Ia juga mempunyai merit pemarkahan untuk kerja ko-kurikulum mereka, untuk 2014, sebanyak 12 pertandingan akan dijalankan,” katanya,
Presiden Fomca, Datuk Dr Marimuthu Nadason, berkata untuk tahun ini Fomca mensasarkan hampir 130,000 penyertaan.
Katanya, pada 2013, Fomca menerima 117,000 penyertaan sementara pada 2012, sebanyak 115,447 penyertaan dicatatkan sekaligus melayakkan pertandingan ini disenaraikan di dalam Malaysia Book Of Records.
Pertandingan itu akan bermula pada 10 Februari 2014 dan berakhir pada 4 Julai 2014.
Sebanyak RM225,000 hadiah wang tunai diperuntukkan sebagai hadiah keseluruhan pertandingan.
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai boleh menghubungi pihak urus setia di talian 03-7877 4741 dan laman sesawang www.mypengguna.com.
EZY