Categories
KENYATAAN MEDIA

GERAMM: Wujudkan kebebasan media

(1) Indeks Kebebasan Akhbar 2014

Rabu lalu, Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) mengeluarkan Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia 2014 yang menyaksikan kejatuhan berterusan Malaysia dalam tangga kebebasan akhbar.

RSF meletakkan Malaysia di tangga 147 daripada 180 negara. Kedudukan itu paling buruk bagi negara ini dalam tempoh 12 tahun terakhir.

Bagaimanapun, pada hari yang sama, Putrajaya melalui jurucakap kerajaan mengeluarkan kenyataan sebaliknya.

Menurut kerajaan, media di negara ini – tidak kira media cetak atau atas talian – sebenarnya lebih bebas daripada sebelumnya.

Menurutnya lagi, kebebasan media itu tergambar melalui laporan portal-portal berita dan blog-blog politik.

media-bebas4Malah, perubahan yang dilakukan dalam pelesenan media cetak turut dijadikan alasan penafiannya.

Gerakan Media Marah (GERAMM) sama sekali tidak boleh menerima alasan jurucakap kerajaan tersebut.

Kedudukan buruk itu – tercorot di belakang Bangladesh (146), Myanmar (145) dan Cambodia (144) – sama sekali tidak boleh diterima.

Langkah kerajaan terus mencipta alasan-alasan mengelirukan, tetapi gagal mengambil iktibar, tidak akan membawa Malaysia ke mana-mana.

Kebebasan media tidak boleh dicerai-beraikan seperti hanya bebas di ruang siber (cyberspace) tetapi tidak bebas di ruang cetak (print media) dan di udara (on air).

Kebebasan itu bersepadu (integral) sifatnya — satu segmen bebas, maka semua segmen-segmen lain media harus bebas.

Jika portal berita boleh bebas, kenapa akhbar, radio dan televisyen tidak boleh menikmati kebebasan itu?

Maklumat, berita dan debat isu-isu masyarakat harus mengalir bebas tanpa mengira pentas (platform) media – portal berita, akhbar, radio dan televisyen.

Jika tiada kebebasan untuk akhbar, radio dan televisyen, maka ia bermakna sikap double-standard yang boleh ditertawakan masyarakat dunia.

Kebebasan double-standard ini ibarat tindakan jenayah yang harus dilakukan secara tertutup kerana malu pada orang ramai atau takut pada tindakan awam.

Gerakan Media Marah (GERAMM) mempersoalkan: kenapa kerajaan harus malu pada kebebasan media sehingga ia hanya boleh dinikmati di Internet?
Kenapa kebebasan media Internet tidak boleh diulang dan disebarkan melalui akhbar, radio dan televisyen?

Alasan kerajaan untuk mempertahankan kemerosotan indeks kebebasan media Malaysia seumpama itu sungguh mengaibkan dan membebalkan.

GERAMM ingin tegaskan, kebebasan akhbar bukan sahaja untuk media atas talian – yang dijamin bebas sejak pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad – tetapi juga termasuk media cetak, televisyen dan radio.

(2) Larangan PKR terhadap Kumpulan Utusan & TV3

PKR sebelum ini melarang Utusan Malaysia dan TV3 daripada membuat laporan terhadap sidang medianya.
Semalam (13 Februari) insiden yang sama berulang dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

GERAMM menuntut larangan ini dibatalkan kerana ia jelas bercanggah dengan prinsip kebebasan akhbar yang harus dihormati semua pihak.

Akses sama rata kepada semua pengamal media oleh parti politik, tidak kira parti mana, merupakan salah satu daripada lapan tuntutan GERAMM.

(Tuntutan penuh GERAMM: http://www.change.org/id/petisi/wartawan-dan-pengamal-media-sila-tandatangan)

Bagaimanapun, dalam masa yang sama, GERAMM juga menggesa kedua-dua media tersebut menghormati etika kewartawanan dengan memberikan liputan berimbang dan adil kepada semua.

Langkah ini penting supaya semua pihak, termasuk PKR, tiada alasan lagi daripada menghalang media daripada menjalankan tugasnya di kemudian hari.

Sebagai rekod, GERAMM juga menyatakan rasa kesalnya dan bantahannya terhadap kementerian yang melarang Malaysiakini mengadakan liputan sidang media YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu harga barang.

GERAMM juga menuntut Umno membenarkan semua media — khususnya tiga portal utama Malaysiakini, Malaysian Insider dan Free Malaysia Today — menghadiri sidang media selepas mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi.

(3) Gangguan terhadap BFM

GERAMM juga menyelar larangan kerajaan terhadap stesen radio BFM yang ingin menyiarkan temubualnya dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PKR di pilihan raya kecil Kajang.

Tindakan ini tidak masuk akal dan jelas sama sekali mencabul kebebasan media yang seharusnya dibenar melaporkan semua pihak yang bertanding tanpa rasa takut dan memihak.

Tindakan ini menjelaskan sikap kerajaan yang hanya membuka ruang kebebasan di Internet tetapi menyekat kebebasan di radio. Satu sikap yang janggal dan memalukan.

Malah, insiden sebegini terus berulang seolah-olah tiada penghujungnya.

Sebelum ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menyiasat BFM yang menyiarkan temubual dengan pemikir Islam dari luar negara berhubung isu “Allah”.

Kerajaan harus berasa malu, ketika Indeks kebebasan Akhbar kita jatuh, pada ketika itu juga kerajaan terus menapis kandungan media sesuka hati.

Leave a Reply

Your email address will not be published.