Oleh: Afix Redzuan
DESA PANDAN, 8 FEB: PAS membidas tindakan biadap NGO yang menawarkan habuan sehingga RM1,200 untuk mana-mana individu yang berjaya menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan merakamnya.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata sekiranya mana-mana pihak tidak berpuas hati, mereka boleh meluahkan perkara berkenaan tanpa perlu membuat sebarang ancaman mahupun menimbulkan sentimen perkauman.
Katanya perkara ini diperbesarkan untuk terus mengalihkan perhatian rakyat terhadap kenaikan harga barang dan pembayaran pampasan berjumlah RM400 juta kepada syarikat konsesi.
“Kalau nak lawan dia balik, buatlah kartun atau sebagainya. Mana boleh nak ancam dengan menampar.
“Sebab dia Cina, dia buat sikit dia (NGO) kata hina Melayu. Kita tidak termakan. Itu bukan hina Melayu. Tidak ada kena mengena.
“Kita tidak bersetuju ini semua untuk mengalihkan isu dengan perkauman.
“Bila negara hadapi masalah dia main isu pekauman,” katanya kepada media selepas pelancaran program Roadshow ‘Jom Turun’ dan Solidariti Ekonomi Rakyat Insaf Kotaraya (Serik).
Katanya sehingga kini polis didakwa masih gagal menangkap pihak bertanggungjawab membaling kepala babi di dua masjid di Johor dan Selangor selepas tiga tahun kejadian ini berlaku.
“Mana boleh polis tidak boleh menangkap orang yang baling kepala babi (di masjid).
“Sebab risikan polis Malaysia antara yang terbaik dalam dunia. Mana boleh. Saya letak keraguan di situ,” katanya lagi.
EZY