Categories
BERITA UTAMA

Kajang Move: ‘The greater good’ untuk siapa?

Oleh Norman

“Ini  untuk kebaikan yang lebih besar” ataupun “this is for the greater good” adalah ayat yang digunakan untuk menjustifikasi pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang seterusnya  memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) untuk bertanding.

Malang bagi rakyat Selangor kerana masih ramai yang kurang jelas dan tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan the greater good yang diulang-ulang ahli-ahli politik berkenaan.

Lebih malang apabila ada rakyat yang menuntut penjelasan yang lebih jelas mereka dituduh pula sebagai hostile, tidak faham politik dan layak untuk duduk di bawah kerajaan seperti Barisan Nasional kerana tidak mahu memahami ‘Kajang Move’.

Saya tidak nampak di mana salahnya bagi sesiapa untuk menuntut penjelasan, mempersoal dan mengutarakan pendapat mereka tentang perkembangan terbaru politik di Selangor.

Malah tidak harus disalahkan rakyat yang keliru apabila ulasan atau penerangan dan juga tindakan berkenaan ‘Kajang Move’ nampak bercanggah dengan penerangan sebelumnya.

az970537_691612570883904_131081841_n

Contohnya, pada 27 Januari, Anwar menafikan akan menjadi Menteri Besar, malah menafi akan bertanding di ‘safe-seat’ di Selangor seperti yang dilaporkan The Star dan petang pada hari sama, ADUN Kajang Lee Chin Cheh meletak jawatan.

Pada masa itu, pelbagai spekulasi timbul dan ia terjawab dengan pengumuman Anwar sebagai calon yang akan bertanding pilihan raya kecil DUN Kajang.

Sedang rakyat terpinga-pinga dengan perkembangan di Kajang,  disuruhnya pula penduduk Kajang bersyukur kerana Anwar dicalonkan sebagai bakal ADUN.

Kenyataan seperti ini persis menteri UMNO menyuruh rakyat bersyukur kerana Malaysia masih aman di kala jenayah berleluasa, harga barang naik dan kos sara hidup yang
meningkat.

Adakah rakyat Kajang khususnya dan rakyat Selangor umumnya tidak berhak mendapat penjelasan yang menyakinkan?

Rafizi Ramli selaku perancang utama ‘Kajang Move’ merangkap Pengarah Strategik Keadilan menerangkan di blog beliau tentang mengapa Anwar perlu bertanding di Kajang.

Secara ringkas:
– Pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim cemerlang tapi ada ruang yang perlu diperbaiki.

– Politik dalaman UMNO yang berubah pantas melalui  perkembangan bahawa Datuk Seri Najib Razak bakal di’pecat’ UMNO akibat tekanan dari Tun Dr Mahathir Mohamed.

Jata-Selangor– Masalah ketegangan kaum dan agama yang dirancang BN untuk menyahstabilkan kerajaan Selangor.

– Selangor perlu menjadi negeri contoh untuk Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

– Kerajaan Selangor tidak pantas menangani isu trafik, perumahan mampu milik dan bekalan air di Selangor. Menguatkan kekuatan Pakatan Rakyat di Selangor.

– Selangor sebagai platform loncatan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia seperti Recep Tayyip Erdogan Datuk Bandar Istanbul (sekarang PM Turkey) dan Joko Widodo Gabenor Jakarta (Calon Presiden Indonesia).

– Mengelakkan pengalaman Kedah yang jatuh semula kepada BN selepas PRU13 akibat krisis dalaman pentadbiran negeri.

Rafizi menerangkan, soal sama ada Menteri Besar akan digantikan atau belum diputuskan dan ia mengikut keperluan dan keadaan semasa. Akan tetapi dari masa ke semasa, ada bayangan Anwar memang akan menggantikan Khalid selaku Menteri Besar.

Anwar juga memberi bayangan apa yang akan dilakukannya sekiranya menjadi MB Selangor di dalam temu bual bersama Malaysia Kini. Maka, bolehlah disimpulkan bahawa jawatan MB bakal bertukar selepas kerusi DUN Kajang dimenangi oleh Anwar.

Anwar Ibrahim ‘bakal’ Menteri Besar?

Saya tidak membantah pencalonan Anwar sebagai calon ADUN Kajang, malah tidak sama sekali membantah sekiranya Anwar diangkat sebagai Menteri Besar sekiranya memenangi PRK Kajang.

dsai6Rekod Anwar sebagai pentadbir dan menteri kabinet pada zaman dalam UMNO sudah terbukti kecemerlangannya. Kecemerlangan selaku Menteri Kewangan (1991-1997) diiktiraf dalam dan luar negara.

Selaku pendokong pasaran bebas, Anwar memacu pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia, menjalankan polisi counter-cylical (untuk menyejukkan pertumbuhan pesat ekonomi) dengan mengimbangkan belanjawan fiskal (juga mencatat lebihan/surplus) seterusnya mengurangkan hutang kerajaan.

Rekod pengurusan kewangan dan ekonomi oleh Anwar terbukti dalam
Laporan Ekonomi Malaysia 1997.

Polisi itu menjadi bukti kemampuan dan kebolehan Anwar mentadbir dan mengurus ekonomi. Pengurusan kewangan cekap Khalid sudah pasti diteruskan dan mungkin menjadi lebih baik sekiranya Anwar menjadi MB Selangor.

Khalid Ibrahim tidak berguna?

Usaha pihak tertentu memburuk-burukkan Khalid tampak sangat dangkal dan cetek. Kejayaan pengurusan ekonomi dan kewangan negeri Selangor dikatakan bukan dari kebijaksanaan Khalid dan ia dirancang oleh pemain-pemain politik di Selangor.

Hairan dan pelik apabila dikatakan Khalid tidak suka berbincang dan mendapatkan pandangan parti dalam menetapkan polisi pentadbiran tetapi kecemerlangan Khalid dikatakan bukan hasil pengurusan beliau.

Khalid tidak sempurna. Ya, memang banyak yang boleh diperbaiki di Selangor. Kita sedar dengan masalah kutipan sampah, jalan berlubang (ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012)  dan isu serbuan  JAIS ke atas premis Persatuan Bible Malaysia yang tidak diurus dengan baik.

Tapi sesetengah pihak menghentam dan merendah-rendahkan Khalid seolah-olah beliau salah dalam segala-galanya, malah seakan-akan tidak berjasa langsung kepada Selangor.

Mungkin dengan kehadiran Anwar dalam pentadbiran kerajaan negeri akan membantu melancarkan pengurusan, bukan sahaja ekonomi dan kewangan, malah isu lain seperti isu sosial, ketegangan antara agama dan kaum dan politik dalam Pakatan Rakyat (khususnya PKR)

 Budaya menyalahkan UMNO

Saya sedikit hairan dengan alasan UMNO adalah punca mengapa Anwar perlu bertanding di Kajang. Alasan bahawa UMNO akan menyerang kerajaan Selangor habis-habisan juga tidak jelas.

Rafizi juga menyatakan bahawa Anwar diperlukan di Selangor untuk mengelakkan BN merampas Selangor dengan menguatkuasakan darurat seperti yang berlaku di Kelantan pada 1977.

downloadSituasi di Kelantan pada 1977 sangat jauh berbeza dengan situasi di Selangor sekarang. PAS pada masa itu parti komponen di dalam BN dan isu pada masa tersebut tertumpu kepada masalah dalaman PAS.

Saya yakin kerajaan BN tidak dapat merampas BN daripada Pakatan Rakyat menggunakan darurat kerana ADUN BN di dalam Dewan Negeri Selangor hanyalah 12 orang dan Selangor dikuasai  Pakatan Rakyat dengan majoriti besar dan kukuh dengan 44 kerusi.

Usaha mengisytihar darurat oleh kerajaan persekutuan sudah pasti tidak mudah dan rakyat Selangor tidak akan berdiam diri membenarkan kerajaan sah yang diundi rakyat Selangor ditumbangkan dengan cara kotor dan jahat.

Berbeza dengan keadaan di Perak pada 2009 apabila tiga ADUN Pakatan melompat dan majoriti yang sangat kecil itu menyebabkan kerajaan Perak tumbang pada masa itu.

Budaya menyalahkan UMNO untuk segala-gala masalah di Selangor tidak sihat. Adakah PKR ingin menutup isu pertembungan antara Tan Sri Khalid dengan Azmin Ali dengan menjadikan UMNO sebagai punca?

Alangkah hebatnya UMNO sehingga dapat masuk ke PKR dan melaga-lagakan kedua individu besar dan hebat di Selangor. Tidaklah saya pasti sama ada yang masuk PKR itu individu yang menjadi ahli atau budaya UMNO yang meresap sebenarnya.

Saya risau budaya menyalahkan UMNO akan menjadi kebiasaan pimpinan PKR untuk menutup kelemahan sendiri. UMNO memang bermasalah tetapi menjadikan mereka sebagai punca masalah tidak membantu menyelesaikan masalah dalaman PKR.

Persoalan lebih besar

Soal pembaziran dan kos pilihan raya bukan isu utama yang patut berkisar di sebalik kisah Kajang. Pembaziran semasa pilihan raya lazimnya datang dalam bentuk gula-gula janji BN. Pelbagai projek segera bernilai puluhan juta  diumumkan dan ia amalan biasa BN dalam PRK sebelum ini.

Pimpinan PKR tidak harus memandang rendah kemampuan berfikir dan memilih rakyat. Ramai kesal dengan komen Naib Presiden PKR, N Surendran yang mengatakan pengkritik ‘Kajang Move’ adalah mereka yang tidak faham politik demokrasi.

1897816_692497020795459_192313422_nTidak kurang juga ada penyokong ‘Kajang Move’ yang mengeji mereka yang mengkritik ‘Kajang Move’ sebagai bodoh, tidak memahami politik, bukan ahli parti dan sebagainya.

Malah isu yang tidak berkaitan seperti Kota Damansara, Semenyih dan sebagainya ditimbulkan untuk merendah-rendahkan pengkritik ‘Kajang Move’.

Kegagalan menerangkan hal ‘Kajang Move’ akan mencalar kredibiliti dan imej Pakatan Rakyat di Selangor. Sokongan rakyat bukan sahaja Kajang, malah seluruh Selangor menjadi taruhan besar.

Saya setuju ‘Kajang Move’ akan menjadi game-changer bagi Pakatan untuk menawan Putrajaya. Tetapi sama ada game-changer  itu bermaksud Pakatan akan berjaya atau tidak, bergantung kepada bagaimana outcome ‘Kajang Move’ yang pada saya masih samar-samar dan kurang jelas.

Saya setuju strategi politik kadang-kadang harus dirahsiakan untuk mengelak dibaca parti lawan (UMNO). Pada masa sama rakyat juga menuntut kejujuran dan ketelusan pemimpin politik Pakatan khususnya PKR.

Janganlah menyuruh rakyat senyap dan merendah-rendahkan tahap kematangan rakyat. Jika PKR berasa rakyat tidak berhak tahu dan hanya harus rancangan parti, maka tiada bezalah PKR dengan UMNO.

 * Disunting dari tulisan Norman dalam blog oskortos.blogspot.com

Leave a Reply

Your email address will not be published.