Categories
NASIONAL

Kerajaan Kedah tidak patut jadikan rakyat mangsa pencemaran budaya hiburan liar

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 11 FEB : Kerajaan Kedah perlu menunjukkan dasar konsisten memastikan rakyat tidak menjadi mangsa pencemaran budaya dengan membenarkan acara hiburan liar berlangsung di negeri itu.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata tidak munasabah apabila Kerajaan Kedah menunjukkan minat menganjurkan Majlis Mahabbatur Rasul tetapi pada masa sama mengadakan pesta muzik liar.

terasKatanya masyarakat tidak wajar didedahkan dengan pesta muzik berskala mega yang berunsur hiburan liar yang tidak melambangkan budaya kebangsaan negara ini.

“Apatah lagi pesta muzik itu akan menjadi pentas kebudayaan antarabangsa melibatkan artis luar negara (Korea dan Taiwan); termasuk 2 orang artis Melayu tempatan.

“Kami mempersoalkan tujuan pesta itu diadakan di kawasan berdekatan kediaman awam yang menimbulkan bantahan daripada masyarakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau menyatakan demikian sebagai bantahan program anjuran EUPE Corporation Berhad, pesta muzik besar-besaran yang diuar-uarkan sebagai ‘Pesta Muzik Pertama dan Terunggul di Utara Malaysia Serta Acara Persembahan Terbesar Malaysia’ yang bakal diadakan pada 1 Mac depan di Sungai Petani.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Kedah tidak menimbangkan implikasi kepada masyarakat tempatan apabila acara seperti ini dibenarkan.

Katanya, sasaran pengunjung dikatakan melebihi 20,000 orang yang pasti akan menimbulkan kekecohan awam apabila anak muda berhimpun di dalam acara pesta muzik seumpama itu.

“Kami menegaskan rakyat tempatan dan negeri Kedah keseluruhannya tidak memerlukan hiburan liar seperti ini.

“Rakyat tidak berbangga jika terpilihnya anak tempatan sempena Pesta Muzik ini untuk layak ke Kejohanan Tarian Hip Hop Antarabangsa 2014 di Las Vegas, Amerika Syarikat seperti yang diumumkan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Kedah tidak boleh dijadikan negeri yang dikenali dengan budaya pesta muzik liar yang boleh menjejaskan moral generasi muda.

“Kami menuntut supaya panduan kelulusan acara hiburan seperti yang tertera dalam Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 hendaklah disemak semula supaya semua acara hiburan mematuhi segala peraturan ditetapkan.

“Kami mendesak pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Kedah membatalkan kelulusan untuk membenarkan pesta muzik berlangsung,” katanya yang disokong oleh lapan NGO Islam.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.