Categories
NASIONAL

KM P.Pinang: Rakyat patut kekal keharmonian, elak elemen merosakkan

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 17 FEB: Kerajaan Pulau Pinang sentiasa bekerja rapat dengan polis bagi menangani sebarang percubaan mengganggu ketenteraman awam.

Ketua Menteri Pulai Pinang, Lim Guan Eng, berkata Kerajaan Negeri yakin polis sentiasa siap-siaga dan mengambil  langkah perlu memeriksa dan menghentikan elemen merosakkan.

mahkamah syariah-pinang-guan engKatanya, beliau percaya bahawa saling menghormati, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat yang pelbagai ini hanya boleh dicapai apabila semua meraikan keunikan dan perbezaan.

“Pendekatan terhadap keharmonian sosial dan keamanan dicabar secara berterusan oleh pelbagai insiden seperti bom api di sebuah gereja bulan lalu, bom api di balai polis awal bulan ini dan penodaan terbaru di masjid semalam, apabila daging dipercayai daging babi dibuang ke kawasan masjid.

“Jelas kumpulan perosak yang terlibat dalam penodaan terhadap tempat ibadat ini tidak berputus asa dalam usaha melemahkan dan menggugat kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, walaupun Kerajaan Negeri berpegang teguh kepada mandat diberikan rakyat melalui sokongan 68 peratus undi popular dalam pilihan raya umum lalu, terdapat kebimbangan bahawa kumpulan perosak ini tidak akan berhenti sehingga mereka mencapai tujuan.

Katanya, laporan tidak berasas berkenaan tiga orang lelaki mengedarkan Bible dalam Bahasa Melayu kepada anak Melayu diluar sebuah sekolah di George Town yang disebarkan meluas, hanya menambah kepada ketidakpastian dan kekeliruan.

“Walaupun diterbitkan oleh akhbar, tidak ada laporan polis yang dibuat dan tiada sesiapa melihat kelibat tiga orang lelaki ini, supaya pihak polis boleh mengambil tindakan,” katanya.

Guan Eng berkata sehingga semua kekacauan ini dapat diselesaikan, rakyat harus kekal tenang dan bersatu serta meneruskan kehidupan harian mereka seperti biasa.

“Mari kita bersama melawan anasir perosak yang mendalangi penodaan Masjid Cheruk Tok Kun di Bukit Mertajam dengan meraikan keunikan dan perbezaan kita bagi mengekalkan keharmonian sosial dan keamanan,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.