Oleh: MD KHAIRI BIN SELAMAT
Berdasarkan pemantauan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sehingga 19 Februari 2014, kapasiti tiga (3) daripada tujuh (7) empangan di Negeri Selangor berada di bawah paras 80%.
Empangan tersebut adalah Empangan Klang Gates pada kapasiti 56.12% bersamaan 14.22 juta liter padu, Empangan Sungai Selangor pada kapasiti 52.65% bersamaan 121.11 juta liter padu, dan Empangan Langat pada kapasiti 78.02% bersamaan dengan 26.60 juta liter padu.
Penurunan paras empangan yang terlibat adalah di luar kebiasaan corak taburan hujan tahunan yang kebiasaannya hanya berlaku di antara bulan Mei hingga September ketika angin Monsun Barat Daya.
Paras air empangan terutamanya Empangan Sungai Selangor yang membekalkan 60% air terawat ke Lembah Klang dilihat mula menurun pada 20 Januari 2014 pada tahap 68.42%.
Keadaan ini adalah disebabkan oleh cuaca semasa yang panas dan kering serta kurangnya jumlah hujan di kawasan tadahan.
Air empangan dilepaskan untuk meningkatkan paras air sungai bagi membolehkan air diabstrak oleh muka sauk untuk dirawat di loji rawatan air dan dibekalkan kepada pengguna.
Keadaan ini bukan sahaja berlaku di Negeri Selangor, malah dialami juga oleh beberapa negeri lain di pantai barat Semenanjung Malaysia.
Bagi mengelakkan kapasiti air empangan menyusut dengan lebih lagi, pihak LUAS akan melaksanakan dalam tempoh terdekat pengaliran air dari kolam bekas lombong ke sungai untuk mengurangkan kadar pelepasan air daripada empangan.
Di dalam masa yang sama juga,LUAS dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) sedang bersedia untuk melakukan pembenihan awan secara menyeluruh di Negeri Selangor terutamanya di kawasan tadahan Empangan Sungai Selangor dan juga kawasan tadahan Empangan Klang Gates bagi meningkatkan kadar hujan dan meningkatkan kuantiti takungan.
Pihak JMM telah mengeluarkan notis makluman pembenihan tersebut kepada pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk dilaksanakan pada skala yang besar.
Pembenihan awan ini disasarkan untuk dilaksanakan di dalam masa beberapa hari lagi berdasarkan kestabilan cuaca dan keadaan awan.
Manakala kapasiti bagi empat (4) empangan lain iaitu Empangan Batu, Empangan Semenyih, Empangan Sungai Tinggi dan Empangan Tasik Subang masing-masing berada pada tahap melebihi 80% pada tarikh yang sama.
Melalui rekod pemantuan tahunan, kesemua empangan di Negeri Selangor dapat membekalkan sumber air dan belum pernah mencecah tahap kritikal yang ditetapkan di dalam lengkuk operasi empangan.
Namun begitu, pihak LUAS akan mengemukakan pelan persediaan dan tindakan mitigasi untuk menghadapi sebarang kemungkinan kepada Kerajaan Negeri untuk pertimbangan dan pelaksanaaan.
Di samping itu, orang ramai juga adalah disarankan untuk menjimatkan air dan menggunakannya dengan berhemah.
* MD KHAIRI SELAMAT adalah Pengarah,Lembaga Urus Air Selangor. – 19 FEB 2014