Oleh : NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM 7 FEB : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa rizab kerajaan negeri akan digunakan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.
Sebaliknya, Abdul Khalid menegaskan beliau mengeluarkan wangnya sendiri untuk melancarkan kempen bagi PRK berkenaan.
Katanya, pihak yang tidak berpuas hati boleh melantik badan tertentu untuk menyiasat kesahihan perkara terbabit.
“Boleh panggil kumpulan bebas untuk pantau. Kita ada ketelusan dalam pentadbiran, seperti program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang saya percaya kerajaan pusat juga ada program seperti itu, jadi kalau kata wang digunakan untuk tujuan lain, mereka boleh siasat.
“Wang negeri tidak digunakan untuk menolong PRK, saya bagi duit sendiri bukan duit negeri. Kalau kita gunakan duit rakyat bererti kita tidak prihatin kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran jentera wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), di Taman Koperasi Cuepacs, semalam.
Beliau berkata, jentera PKR sudah bersiap sedia bertempur dalam PRK terbabit dan yakin dengan pengundi Kajang boleh menilai kepimpinan negeri dalam tempoh beberapa tahun ini.
“Saya percaya pengundi Kajang mengenali kerajaan negeri kerana kita mempunyai pelbagai program MES. Ini membuktikan kerajaan negeri sangat prihatin dengan kebajikan rakyat, di samping memberikan pembangunan terbaik untuk rakyat Selangor,” katanya.
Sementara itu, Abdul Khalid yang juga Pengarah PRK Kajang akan memanggil setiap kompenan Pakatan Rakyat (PR) untuk membantu kempen pilihan raya terbabit.
“Kita akan panggil semua, bukan sahaja daripada PKR dan DAP tetapi mahu semua pimpinan Sabah dan Sarawak untuk membantu kita supaya mereka ada pengalaman. Saya rasa tahun depan akan ada pilihan raya di Sarawak dan kita akan gunakan kesempatan di Kajang untuk membantu di sana nanti,” katanya.
-NFN-