Oleh : Lizawati Madfa
SHAH ALAM 26 FEB : Dakwaan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kononnya pelan penjadualan semula bekalan air sudah dibentangkan adalah tidak benar sama sekali, tegas Menteri Besar.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Syabas sebaliknya gagal membentangkannya dalam empat mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor yang diadakan berasingan.
Katanya, perbincangan mengenai persediaan terhadap cadangan pelaksanaan penjadualan pengagihan air dilakukan bersama pihak Syabas sejak 18 Februari.
“Jawatankuasa berkenaan meminta supaya Syabas membentangkan pelan tersebut dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 20 Februari 2014.
“Kerajaan Selangor sekali lagi mengarahkan Syabas menyediakan pelan penjadualan pengagihan air untuk dibentangkan pada 21 Februari tetapi Syabas masih gagal dan pada 24 Februari sekali lagi Syabas gagal berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Semalam, Syabas dalam satu sidang media mendakwa pelan penjadualan semula bekalan air disediakan sebaik sahaja Khalid mengeluarkan arahan tindakan kecemasan bagi kawasan yang terjejas Jumaat lalu.
Pengarah Eksekutif Teknikal Konsesi Air Syabas, V. Subramaniam juga mendakwa pelan yang disediakan hanya diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negeri (SPAN) semalam.
Abdul Khalid bagaimanapun dalam kenyataan sama menyelar tindakan Syabas menggunakan SPAN sebagai alasan dan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal, mengarut dan tidak boleh diterima kerana melibatkan kepentingan awam.
“Kerajaan Negeri terpaksa melaksanakan pengurangan pelepasan air daripada empangan untuk pastikan pengguna tetap menerima bekalan air walaupun berselang seli sehingga akhir Mac ini.
“Penurunan paras air empangan kerana perubahan monsun yang menyebabkan cuaca panas berlanjutan dan keadaan ini turut dialami di negeri-negeri lain,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa Syabas menjalankan tanggungajawab sebagai syarikat konsesi dengan segera menyediakan pelan penjadualan pengagihan bekalan air tanpa sebarang alasan lagi.
“Kerajaan Negeri ingin tegaskan bahawa keaadan pada ketika ini berbeza dengan apa yang berlaku pada 15 Julai 2012 apabila Syabas mengumumkan catuan air di Lembah Klang tanpa mendapat persetujuan Kerajaan Negeri dan Ahli Lembaga Pengarah Syabas pada ketika itu,” katanya.
EZY