Oleh : Lizawati Madfa
SHAH ALAM 28 FEB : Sejak awal tahun ini, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus melaksanakan langkah-langkah proaktif dalam menangani masalah peningkatan demam denggi.
Timbalan Pengarah Korporatnya, Shahrin Ahmad berkata, sehingga 22 Februari, MBSA aktif melakukan pemantauan
dan mengadakan pemeriksaan di 13857 premis.
Katanya, dalam tempoh sama, MBSA juga melakukan sebanyak 155,963 semburan kabus (fogging) di kawasan premis khususnya di rumah kediaman dan rumah kedai.
“Hasil pemeriksaan ini juga MBSA juga mengeluarkan 91 kompaun di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan kesalahan ini boleh dikenakan kompaun sebanyak RM500 kerana membiak jentik-jentik.
“Usaha menangani masalah denggi ini selaras dengan seruan dan arahan kerajaan bagi memastikan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes ini dapat dihapuskan sekaligus dapat mengawal jangkitan demam denggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Shahrin berkata, selain pemantauan, pemeriksaan premis serta semburan fogging, MBSA juga menjalinkan kerjasama dengan pihak sekolah di bawah Program Jom Musnah Denggi, aktiviti gotong-royong dan majlis dialog bersama penduduk.
“MBSA amat serius dalam menangani masalah demam denggi ini dan berharap mendapat kerjasama warga kota Shah Alam bagi memastikan bandar ini bebas daripada penyakit demam denggi.
“Ini termasuklah memastikan kawasan sekitar bebas daripada sampah sarap dan sentiasa mengamalkan cara pembuangan
sampah yang betul,” katanya lagi.
Bagi sebarang pertanyaan berhubung demam denggi, orang ramai boleh berhubung dengan Bilik Gerakan Denggi, Jabatan Perkhidmatan Bandar, MBSA di talian 03-5522 2793 yang dibuka sepanjang waktu pejabat.
Dari awal bulan Januari 2014 sehinggga 22 Februari, sebanyak 1505 daripada 1898 laporan kes yang dilaporakan di Shah Alam disahkan positif demam denggi.
Antara kawasan yang dikenal pasti menjadi lokaliti wabak denggi di kawasan pentadbiran MBSA ialah Seksyen 7 dan Seksyen U5.
EZY