Oleh: Norhayati Umor
SHAH ALAM 14 FEB : Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan bekerjasama dengan Jabatan Meterologi Malaysia (JMM) akan melakukan pembenihan awan bagi meningkatkan kuantiti takungan Empangan Sungai Selangor.
Pengarah LUAS, Md Khairi Selamat berkata pelaksanaan itu akan dilakukan selepas mendapat pengesahan JMM berdasarkan ulasan yang diterima setiap hari.
Katanya, ketika ini pelaksanaan pembenihan awam tidak sesuai untuk dilakukan kerana keadaan terlalu panas dan kering.
“Sebagai langkah persediaan dan bagi mengelakkan kapasiti air empangan menyusut dengan lebih lagi, kita akan lakukan pembenihan awan bila-bila masa.
“Bagaimanapun ketika ini, cuaca panas dan kering, jika dilakukan ia tidak akan berkesan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.
Md Khairi berkata LUAS juga sedang mempertimbangkan inisiatif lain antaranya untuk mengalirkan air dari kolam bekas lombong ke sungai untuk mengurangkan kadar pelepasan air daripada empangan.
Berdasarkan rekod, Empangan Sungai Selangor mampu menampung kapasiti air sebanyak 235 juta meter padu.
Sehingga hari ini, kapasiti empangan itu adalah pada tahap 56.28 peratus iaitu sebanyak 129.45 juta meter padu.
Paras air empangan mula menurun pada 20 Januari lalu pada tahap 68.42 peratus menyebabkan keadaan itu adalah diluar kebiasaan tren taburan hujan tahunan.
Keadaan itu disebabkan oleh situasi semasa yang panas dan kering serta kurangnya jumlah hujan di kawasan tadahan Sungai Selangor.
Pelepasan air empangan adalah untuk meningkatkan paras air sungai bagi membolehkan air diabstrak melalui mula sauk untuk dirawat oleh loji rawatan air dan dibekalkan kepada pengguna.
EZY