SHAH ALAM, 4 FEB: Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menjelaskan kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Selangor penting untuk menghalang Barisan Nasional (BN) menggunakan situasi darurat untuk merampas negeri itu.
Beliau berkata, itu adalah satu lagi persediaan dan juga iktibar yang pernah berlaku di Kelantan pada tahun 1977 apabila BN menggunakan perkara sama untuk merampas kuasa kerajaan negeri daripada PAS.
“Kita tidak menolak kemungkinan bagaimana isu kaum dan agama dimainkan. Dahulu, Umno pernah melakukannya di Kelantan.
“Umno menggunakan kuasa darurat bagi menggantung pentadbiran kerajaan negeri dan ia pernah berlaku sebelum ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.
Rafizi berkata, jika isu agama digunakan setiap minggu terutama membabitkan kenyataan sensitif ia bakal mengundang pelbagai kemungkinan termasuk campur tangan Umno Selangor dalam perkara berkenaan.