SHAH ALAM 13 FEB: Kerajaan Negeri mengarahkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk menjalankan pembenihan awan di kawasan tadahan Sungai Langat dan masih menunggu keadaan yang sesuai berdasarkan kepada pandangan Jabatan Meteorologi Malaysia.
Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna Dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, berkata setakat ini, pembenihan awan agak sukar dilaksanakan kerana masih mencari awan yang sesuai.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga menyeru orang ramai tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan berjerebu semasa cuaca panas yang melanda negara ketika ini semakin buruk.
Katanya kerjasama masyarakat diperlukan untuk melaporkan sebarang kejadian pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Jabatan Alam Sekitar bagi mengelakkan keadaan lebih buruk.
“Sesiapa yang tertangkap dan didapati bersalah boleh didenda sehingga RM500,000 dan boleh dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun,” katanya lagi.
Sementara itu beliau berkata, Kerajaan Negeri mengkaji cadangan peningkatan penggunaan ammonial nitrogen daripada 1.5mg/lter kepada 2.5mg/liter atau had yang dipersetujui d Loji Pembersihan Air (LPA) Batu 11 Cheras dan LPA Bukit Tampoi ekoran peningkatan ammonia disebabkan penurunan paras air sungai akibat cuaca panas.
“Anggaran kos RM350,000 sebulan diputuskan dalam mesyuarat khas pada 4 Februari lalu bagi penyelesaian dengan meningkatkan kadar pengudaraan bagi merawat air dan penggunaan bahan kimia yang bersifat sementara,” kata Elizabeth dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco, semalam.
Menurutnya, penyelesaian jangka panjang pula katanya melibatkan kos RM5 juta dengan anggaran tempoh kerja penggantian dan tempoh pemasangan adalah enam hingga lapan bulan.
EZY