Categories
SELANGOR

Anwar akan terus berjuang di Selangor

Oleh : AFEEQA AFEERA

KAJANG, 9 MAC: Walaupun mengesahkan dirinya tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang pada 23 Mac ini, namun Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar untuk terus memainkan peranan dalam membantu pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau akan terus memberi fokus kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang kerana ia landasan angkat bagi negeri Selangor untuk mara ke Putrajaya.

“Kita akan bantu Abdul Khalid untuk urus ekonomi tetapi perlu angkat Selangor untuk buat lebih baik kerana ini negeri contoh jika kita tawan Putrajaya.

DSC_5069“Selangor adalah contoh dan model untuk tawan Putrajaya,” katanya kepada 5,000 hadirin pada Majlis Makan Malam Pakatan Rakyat (PR) di Sungai Chua, malam tadi.

Anwar turut memberi amaran kepada Barisan Nasional (BN) supaya tidak menarik nafas lega walaupun beliau tidak bertanding di Kajang.

“Kalau saya tak boleh tanding habis ke? Tidak, mereka salah besar. Saya tak tanding, wakil saya yang kuat akan tanding atas nama saya.

“Mesyuarat PR sudah memutuskan walaupun Anwar tak tanding, tetapi Anwar perlu terus main peranan penting di Selangor. Saya akan terus di sini,” katanya.

Beliau turut mengajak penduduk Kajang supaya memilih calon penggantinya untuk menumbangkan pemimpin BN yang sombong dan korup.

DSC_5001“Kita kena bagi mesej jelas pada 11 Mac ini iaitu ketika penamaan calon dan pada 23 Mac, saya minta anda semua ajar orang sombong dan korup. Kita lawan BN habis-habisan,” katanya.

Keputusan berkenaan calon pengganti Anwar bagi PRK Kajang dijangka akan diumumkan selewat-lewatnya sehari sebelum penamaan calon pada 11 Mac ini.

Pada 7 Mac lalu, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar atas tuduhan ke membabitkan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Balia Yusuf Wahi yang mengetuai panel tiga hakim itu bagaimanapun membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan keputusan itu sehingga rayuan dibuat kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan berkenaan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.