SHAH ALAM 9 MAC: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini, ekoran keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkan beliau bersalah dalam kes fitnah liwat.
Dalam ceramahnya di Sungai Chua di Kajang malam tadi, Anwar bagaimanapun memberi amaran kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) supaya tidak menarik nafas lega dengan keputusan tersebut.
“Sekarang apa jadi? Dengan keputusan mahkamah, saya tidak boleh tanding.
“Kalau saya tidak boleh tanding, habiskah? Tidak, mereka salah besar. Saya tidak bertanding, tapi wakil saya yang kuat akan bertanding atas nama saya,” kata Anwar di hadapan kira-kira lima ribu hadirin di tapak pasar malam Sungai Chua, Kajang.
Anwar juga menggesa penduduk Kajang supaya memilih calon penggantinya.
“Kita kena bagi mesej jelas. 11 Mac minta kawan datang masa penamaan calon. 23 Mac saya minta anda semua ajar orang sombong dan korup.
“Anda semua beri sokongan kuat kepada Pakatan Rakyat (PR),” katanya dipetik dari The Malaysian Insider.
Anwar berkata akan terus memainkan peranan dalam membantu pentadbiran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim walaupun tidak bertanding di Kajang
“Tadi mesyuarat PR, Kit Siang daripada DAP, Hadi daripada PAS, kita dah putuskan, Ya, Anwar tidak tanding tapi Anwar mesti terus main peranan lebih penting di negeri Selangor
“Bantu supaya angkat negeri Selangor. Saya akan di sini!” kata Anwar.
EZY