Oleh : LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 26 MAC: DAP menentang dan mengutuk keras tindakan tidak berperikemanusiaan mahkamah Mesir yang menjatuhkan hukuman mati terhadap lebih 500 penyokong bekas Presiden, Dr Mohamed Morsi.
Strategis Pilihan Raya DAP, Dr Ong Kian Ming, berkata hukuman mati beramai-ramai terbesar dalam sejarah itu bukan sahaja kejam tetapi mengarut.
Katanya, hukuman berkenaan dijatuhkan dalam keadaan tergesa-gesa dalam sesi perbicaraan yang sangat pincang.
“Adalah sangat merepek apabila hukuman dengan magnitud sebegini boleh dijatuhkan hanya selepas perbicaraan beramai-ramai selama dua hari bersabit kematian seorang anggota polis.
“Pihak pembelaan juga dilaporkan tidak diberi akses kepada bahan bukti, bahkan defendan dan peguam mereka juga tidak dibenarkan hadir ke mahkamah ketika hukuman,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 24 Mac lalu, sebuah mahkamah di Minya, Kaherah menjatuhkan hukuman mati terhadap 529 penyokong Morsi yang juga anggota Ikhwanul Muslimin selepas hanya dua sesi perbicaraan dijalankan.
Hukuman itu juga dilaporkan dilakukan dalam keadaan peguam tertuduh mengadu tidak diberi peluang membentangkan hujah mereka.
Sehubungan itu, Kian Ming yang juga Ahli Parlimen Serdang berkata, perkembangan terbaru di Mesir itu seakan memberi petanda negara Arab itu akan kembali ke zaman pemerintahan diktator, Hosni Mubarak.
“Saya menggesa Kerajaan Pusat mengutuk tindakan kerajaan Mesir dan sistem mahkamah negara itu yang menindas rakyat sendiri,” tegasnya.
-NFN-