SHAH ALAM, 26 MAC: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Sarawak mengecam tindakan menghalang tiga pimpinan Pakatan Rakyat (PR) memasuki Sarawak, semalam.
Penyelaras Bersama SAMM Sarawak, Norazarizah Rahman, berkata hak sebagai anak watan dinafikan dengan angkuh oleh ketua menteri yang memerintah di atas mandat diberikan rakyat demi kelangsungan politik yang sempit.
Katanya, tindakan pengusiran ke atas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution; Naib Presidennya, Tian Chua dan Pengarah Strategik, Rafizi Ramli yang datang untuk bersama dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian jelas membuktikan pihak rejim kini ketakutan.
“Selepas kita merdeka dan bersama dalam satu gagasan persekutuan, undang-undang dracornia masih dikekalkan oleh rejim pemerintah dengan alasan dangkal.
“Hal itu kerana pihak rejim ketakutan selepas banyak kepincangan dan kelemahan yang didedahkan bagi membendung amarah rakyat yang menyaksikan kebangkitan mereka seperti di PRK Kajang, pada 23 Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Norazarizah berkata, rakyat di seluruh negara diarah bersatu hati dalam menghadapi pelbagai maslahan yang kian meruncing, namun penguasa begitu angkuh menggunakan undang-undang di zaman penjajah.
“SAMM Sarawak mengutuk dengan keras hak demokrasi yang sering dilaungkan pemerintah berlandaskan semangat demokrasi berparlimen yang didukungseluruh rakyat negara ini,” katanya.