SHAH ALAM, 13 MAC: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan meletakkan pegawainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengelakkan bomoh melakukan ritual untuk mengesan kehilangan pesawat penerbangan MH370, sejak 8 Mac lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasanya, Hardi Mohd Sadali, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan anggota keselamatan di KLIA bagi memantau kegiatan itu daripada terus berulang.
“Pemantauan itu akan dilakukan secara berterusan di lapangan terbang,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan di Anjung Tinjau, di sini, semalam.
Memetik laporan BERNAMA, 15 pegawai dan anggota daripada JAIS melakukan pemantauan di Anjung Tinjau selepas mendapat maklumat seorang bomoh, Ibrahim Mat Zin, 80, akan melakukan ritual kali kedua, malam tadi.
Pasukan penguatkuasa JAIS yang tiba kira-kira 9.20 malam dilihat menunggu kehadiran Ibrahim di Anjung Tinjau sebelum meninggalkan tempat itu, pada 10.15 malam.
Tengah hari semalam, Ibrahim yang mendakwa “Raja Bomoh”, melakukan ritual ala-ala ‘tikar terbang’ bagi mengesan pesawat MH370 yang disertai beberapa lelaki yang memegang dua biji buah kelapa yang tidak diketahui fungsinya.
Pada 10 Mac lalu, Ibrahim turut muncul di KLIA melakukan ritual menggunakan bubu mata pancing.
Hardi berkata, JAIS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap Ibrahim di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor jika terus melakukan ritual itu di KLIA.
“Kita akan nasihat dia supaya tidak melakukan ritual seperti yang dilakukan sebelum ini. Jika dia (Ibrahim) masih berdegil, kita akan ambil tindakan,” katanya.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini turut menyelar usaha beberapa pihak mendapatkan khidmat bomoh dalam usaha mencari pesawat MH370 yang hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kerana langkah itu jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Penerbangan MH370 terputus hubungan dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira sejam selepas berlepas dari KLIA dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal yang sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.