SHAH ALAM, 27 MAC: Keluarga penumpang pesawat MH370 kini berada pada tahap menerima kenyataan berkenaan insiden itu dengan bersyarat, kata Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam, Dr Abdul Jalil Hassan.
Beliau berkata, apa yang dimaksudkan dengan penerimaan bersyarat itu adalah pada situasi sekarang anggota keluarga hanya dapat menerima kenyataan perkembangan terbaru insiden itu jika terdapat bukti berkaitan.
“Bagaimanapun, terdapat juga anggota keluarga yang boleh menerima perkembangan dengan hati terbuka,” katanya di Hotel Everly, di Putrajaya, hari ini.
Bagaimanapun, katanya berhadapan dengan keluarga penumpang pada hari ke-18 semakin mudah kerana pihaknya sudah mendekati mereka sejak hari pertama kejadian.
Memetik laporan BERNAMA, Abdul Jalil berkata, mereka yang dapat menerima sebarang perkembangan dengan hati terbuka mampu menangani serta menerima hakikat dengan cepat berbanding penerimaan secara bersyarat.
Katanya, kaedah kaunseling kepada keluarga yang menghadapi sebarang krisis atau insiden juga kebiasaannya terbahagi kepada dua cara iaitu emosi dan kognitif.
Abdul Jalil berkata, kebiasaannya penyampaian secara emosi banyak digunakan untuk mereka yang berpendidikan sederhana, manakala kognitif iaitu besertakan bukti untuk yang berpendidikan tinggi.