Oleh Tan Sri Khalid Ibrahim
Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menandantangani Perjanjian Awal (Heads of Agreement) dengan Kerajaan Selangor yang mengandungi maklumat lebih menyeluruh dan terperinci mengenai penstrukturan semula industri air Selangor.
Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Najib Razak di Putrajaya, semalam, kami telah bersetuju supaya Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mewakili Kerajaan Persekutuan manakala Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) mewakili Kerajaan Selangor.
KeTTHA dan KDEB akan bekerjasama menghasilkan deraf Perjanjian Awal ini dan ijangka ditandatangani dalam masa terdekat.
Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Menterinya, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili dan akan memaklumkan kepada Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin-peminpin tertinggi Pakatan Rakyat.
Perkembangan ini menunjukkan komitmen berterusan kedua-dua belah pihak terhadap Perjanjian Persefahaman (MoU) penstrukturan air Selangor yang telah ditandatangani pada minggu lalu.
Menteri KeTTHA, juga telah menyatakan keinginan beliau untuk menghadiri majlis pecah tanah projek HORAS (Hybrid Off River Augmentation System) di Kuala Selangor yang akan dibina oleh kerajaan Negeri Selangor untuk membekalkan air terawat sebanyak 600 juta liter sehari (JLH) yang dijangka diadakan pada 15 Mac ini.
Kita yakin projek HORAS akan berjaya menyelesaikan masalah gangguan bekalan air sementara menunggu siapnya Langat 2.
Kerajaan Selangor mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan terhadap komitmen untuk menghormati MoU dan Selangor berharap proses penyusunan semula industri air ini boleh diselesaikan secepat mungkin selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.