Oleh : NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan Pusat diberi amaran supaya tidak sesekali cuba menangguk di air keruh dengan mengaitkan kehilangan pesawat MH370 dengan pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat (PR).
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata, PR secara konsisten komited menolak dan mengecam sebarang bentuk keganasan sama ada yang berlaku di dalam dan luar negera.
“PKR menggesa Kerajaan Pusat tidak menggunakan ini sebagai alasan atau peluang untuk mengaitkan parti komponen PR atau pemimpin mereka.
“PKR dan parti lain dalam PR komited kepada cara yang aman dan mengikut perlembagaan dalam perjuangan politik kami. Kami secara konsisten mengecam dan sebarang bentuk keganasan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Tian Chua berkata, Kerajaan Pusat seharusnya meningkatkan kerjasama dengan agensi antarabangsa bagi menjalankan siasatan rapi dan profesional terhadap insiden berkenaan.
Tian Chua turut mendakwa media tertentu sengaja mencetuskan spekulasi liar tanpa maklumat sah kononnya kehilangan pesawat MH370 mempunyai kaitan dengan juruterbang pesawat itu sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.
“PKR berkongsi kesedihan dan kebimbangan semua ahli keluarga yang mempunyai orang yang tersayang yang hilang dalam penerbangan MH370,” katanya.
-NFN-