Oleh : Lizawati Madfa
SHAH ALAM 1 MAC : Bagi memastikan hak rakyat terus terpelihara dan dilindungi, Kerajaan Negeri kini giat menyemak semula perjanjian usahasama syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dengan pihak swasta yang bersifat berat sebelah.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri akan mengenal pasti aset dan tanah milik GLC sebelum mengambil langkah memperbetulkan perjanjian didapati terlibat dalam urusan usahasama tidak adil.
Katanya, jika perlu Kerajaan Negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan lebih wajar termasuk merampas semula tanah terlibat dengan usahasama tidak menguntungkan.
“Pengalaman perjanjian usahasama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan Nusa Gapurna yang akhirnya menjadi kes mahkamah adalah satu daripada beberapa contoh perjanjian sedang disiasat dan disemak semula.
“Malah untuk PKNS sahaja, terdapat 30 perjanjian usahasama sedang disemak semula,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengambil langkah menyemak usahasama antara Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) dan beberapa lagi GLC yang bekerjasama dengan syarikat swasta termasuk Talam Corporation Berhad (Talam).
Bagi mendapatkan semula tanah diberi kepada Talam, Kerajaan Negeri terpaksa membetulkan kesilapan menerusi Perjanjian Penyelesaian Hutang.
Sehubungan itu, bagi mengelak kesilapan berulang, Abdul Khalid berkata, kesemua GLC digalakkan untuk menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Langkah ini bagi memastikan perjalanan urusniaga dibuat mengikut tatakelola betul sekaligus memastikan hak negeri terjamin.
“Kesemua GLC juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam membuat perjanjian melibatkan pembangunan tanah dengan pihak swasta,” katanya lagi.
EZY