Oleh : NURUL FARINA NAZLAN
SHAH ALAM, 25 MAC: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mewakili kerajaan dan rakyat Selangor merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa pesawat MH370 selepas pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi, semalam.
Katanya, beliau mewakili Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor juga berdoa Allah SWT permudahkan mereka dalam menghadapi kesedihan berkenaan.
Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri akan mengadakan majlis tahlil untuk mangsa MH370 beragama Islam yang bakal berlangsung di Masjid Negeri Shah Alam, malam esok (26 Mac) dan orang ramai dijemput hadir.
“Selepas lebih dua minggu seluruh dunia dan rakyat Malaysia khasnya berdoa serta berharap penumpang juga anak kapal MH370 untuk pulang dengan selamat, akhirnya kita redha. Kesedihan yang tidak terbilang ini berkesudahan dengan tragedi pesawat terbabit dilaporkan berakhir di Lautan Hindi.
“Dalam berkongsi kesedihan mereka, kami amat berharap orang ramai khususnya pihak media smenghormati ruang peribadi dan emosi setiap ahli keluarga mangsa dalam menghadapi masa yang amat mencabar serta memilukan ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Selangor sedia membantu keluarga mangsa untuk mengadakan majlis tahlil bagi yang beragama Islam atau acara pengebumian mengikut kepercayaan masing-masing bagi bukan Islam.
“Kami berharap umat Islam akan menyertai majlis tahlil yang bakal diadakan esok dan bersama mendoakan roh mereka yang pergi dicucuri rahmat Allah SWt. Al-Fatihah,” katanya.
Pimpinan Pakatan Rakyat lain turut merakamkan ucapan takziah melalui akaun Twitter masing-masing antaranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, LIm Kit Siang.