SHAH ALAM 22 MAC: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kawalan pengeluaran dan pengagihan air terawat di Selangor akan diletakkan di bawah satu syarikat sendiri.
Abdul Khalid berkata, ia dapat dilakukan selepas industri itu diambil alih Kerajaan Pusat melalui Akta Industri Perkhidmatan Air.
Beliau berkata, operasi empat syarikat konsesi yang selama ini menguruskan air akan diambil alih dan diletakkan di bawah satu anak syarikat kerajaan negeri Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
Pada permulaan proses pengambil alihan, Putrajaya dan Selangor akan menghantar pegawai KDEB menyertai pasukan Putrajaya yang akan “mengambil alih” operasi empat syarikat konsesi itu, katanya.
“Kerajaan persekutuan dan KDEB akan turut serta bersama-sama. Namun kerajaan persekutuan akan berdiri di belakang dan membiarkan KDEB menguruskannya (operasi air),” katanya di Galeri Shah Alam hari ini.
Khalid berkata, ia adalah perjanjian di antara Selangor dan Putrajaya bagi penstrukturan semula agar lebih menguntungkan dan mengatatasi masalah kurang efisien dalam industri air di Selangor.
Sebelum ini, Abdul Khalid berkata pengambilalihan operasi empat firma utiliti air di Selangor oleh Putrajaya dalam tempoh dua minggu adalah selaras dengan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Wasia).
Beliau berkata, langkah itu membolehkan penstrukturan air di negeri itu dipercepatkan dengan Kerajaan Pusat mengambil alih aset air dan menyerahkan kuasa pengurusan serta operasinya kepada Kerajaan Selangor.
Katanya, rakyat tidak perlu khuatir kerana kepentingan Selangor tetap terpelihara apabila operasi air diserahkan sepenuhnya untuk kendalian Kerajaan Negeri.
EZY