SHAH ALAM 15 MAC: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mengesahkan laporan media berhubung pesawat MH370 dirampas.
Najib berkata, komunikasi terakhir MH370 dengan satelit adalah pada 8.11 pagi waktu tempatan Sabtu lalu (hari kehilangan pesawat) di Selat Melaka.
Katanya, penyiasatan menunjukkan pergerakan penumpang kapal terbang itu dan hubungan telekomunikasi dibuat dengan sengaja namun beliau menolak ia satu rampasan.
Namun menurut Najib, kini pencarian pesawat ini sedang memasuki fasa baru ke arah dua koridor baru di utara Malaysia dan satu lagi di selatan negara ini.
Koridor utara adalah menuju ke Turkmenistan, Kazakhstan serta utara Thailand manakala koridor selatan ialah di Indonesia dan selatan Lautan Hindi.
Pada sidang media itu, Najib yang membaca teks tanpa menerima sebarang soalan daripada media, berkata Malaysia akan terus meningkatkan usaha mencari dan berharap maklumat baru yang diperolehi akan membawa kepada satu langkah mendekati penemuan pesawat itu.
Sementara itu orang ramai melahirkan pelbagai pandangan di media sosial berhubung sidang media tergempar Perdana Menteri itu berhubung kelewatan sidang media dan keengganan Najib Razak membuka sesi persoalan wartawan.
Mereka meluahkan rasa kurang senang dengan kelewatan sidang media hampir 40 minit yang sepatutnya diadakan tepat pada jam 1.30 petang.
Mereka menyatakan sepatutnya ketepatan waktu perlu diutamakan Kerajaan Malaysia kerana ia melibatkan imej negara di peringkat antarabangsa.
Ada juga pengguna laman sosial yang menimbulkan persoalan pesawat itu ‘terbang’ hingga ke Kazakhstan kerana sebelum ini media ada melaporkan bahawa Najib mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemimpin utama negara itu yang memerlukan penjelasan lebih lanjut.
Menurut Lathefa Koya, selepas penafian demi penafian dilakukan oleh pemangku Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussin pengumuman Najib Razak hadir mengesahkan penafian dilakukan sebelum ini.
Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin di twitternya menulis sidang media oleh Najib Razak itu tiada maklumat baru yang dikemukakan.
“Sekadar beritahu tiada maklumat terbaru.. dah lah lambat,” tulis Badrul Hisham.
Sebelum ini, Agensi Berita Antarabangsa Associated Press melaporkan seorang pegawai kerajaan Malaysia berkata spekulasi rampasan pesawat MH370 itu bukan hanya lagi satu teori tetapi ia adalah ‘konklusif’.
Pegawai tersebut, yang terlibat dalam penyiasatan itu, berkata mereka telah menentukan bahawa salah seorang juruterbang atau orang lain yang mempunyai pengalaman terbang, telah merampas pesawat itu.
Bagaimanapun, motifnya belum diketahui dan juga tidak jelas ke mana pesawat itu berada.
EZY