Oleh : AFEEQA AFEERA
KUALA LUMPUR, 17 MAC : Pakatan Rakyat (PR) akan menganjurkan Himpunan Solidariti Rakyat pada 21 Mac ini di Stadium Kajang untuk membantah keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan denda kepada dua pemimpin tertinggi parti itu, baru-baru ini.
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata rakyat amat terkejut dan marah dengan keputusan mahkamah yang mengenakan hukuman lima tahun penjara terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain denda RM4,000 kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh.
Beliau berkata keputusan itu adalah langkah politik Barisan Nasional (BN) dalam usaha memastikan pimpinan PR dibuang dari arena politik.
“Namun rakyat tidak akan duduk diam tatkala kezaliman begini berleluasa. Kita banyak menerima mesej sokongan malah ramai yang bertanya apakah langkah kita seterusnya.
Justeru kita umumkan satu perhimpunan untuk membantah keputusan ini pada hari Jumaat, 21 Mac jam sembilan malam di Stadium Kajang,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Sehubungan itu, Chua mengajak orang ramai untuk hadir ke perhimpunan berkenaan demi menzahirkan rasa kemarahan terhadap keputusan menindas ahli parlimen PR.
Katanya rakyat disarankan supaya hadir dengan mengenakan pakaian berwarna hitam sebagai tanda protes.
“Himpunan ini adalah permulaan dan akan dilaksanakan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang selesai sebagai tanda sokongan kita terhadap dua pemimpin ini dan lain-lain ahli yang berkemungkinan menerima nasib seperti ini (hilang kelayakan sebagai wakil rakyat),” katanya lagi.
EZY