Categories
KENYATAAN MEDIA

PAS kongsi kekecewaan bersama Anwar hingga keadilan ditegakkan

Oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Parti Islam SeMalaysia (PAS) sungguh terkejut dan ingin merakamkan kekesalan yang tidak terhingga terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dalam proses penghakiman yang begitu tergesa-gesa menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam rayuan pendakwa terhadap Kes Sodomi II pada hari ini.

PAS dan kalangan rakyat awam sudah tentu bertegas bahawa prinsip keadilan mestilah bukan sahaja ditegakkan dengan penuh telus dan bermaruah, tetapi ianya mestilah dapat dilihat ditegakkan dengan prosesnya yang begitu teliti, cermat dan berlaku adil mengikut prinsip undang-undang yang bebas.

Apatah lagi sekiranya kita merujuk kepada sistem keadilan perundangan Islam yang menekankan bahawa sedikit sahaja keraguan dalam proses perbicaraan itu sudah cukup untuk membebaskan seseorang yang didakwa. Prinsip keadilan sebegini tidak dapat dilihat dalam kes yang menimpa Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Ini dengan sendirinya akan berterusan menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dalam negara kita ini.

PAS berkongsi kekecewaan ini dengan anggota keluarga Dato’ Seri Anwar Ibrahim, terutamanya isteri beliau Datin Seri Dr Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam menghadapi ujian yang sangat berat ini.

PAS akan terus memberikan segala bentuk sokongan kepada beliau dan ahli-ahli PKR, serta seluruh penyokong Pakatan Rakyat dalam meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan sehingga keadilan dapat ditegakkan dan kezaliman dapat diruntuhkan.

* Datuk Seri Abdul Hadi Awang ialah Presiden PAS

Leave a Reply

Your email address will not be published.