Oleh : NORHAYATI UMOR
KLANG, 14 MAC: Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasa, Andry Arman Masrom mempergiatkan operasi memantau kebakaran hutan sekitar Johan Setia bagi menghalang ia merebak ke lokasi baru.
Pengarah Jabatan Korporat Dan Kemasyarakatan MPK, Zaireezal Ahmad Zainuddin, berkata operasi itu turut mendapat perhatian Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong yang turut bersama melakukan tinjauan di lokasi terbabit.
Katanya, hasil siasatan dan pemantauan yang dijalankan mendapati ia berpunca daripada pembakaran oleh peneroka haram yang menjalankan aktiviti mereka selain faktor cuaca kering juga menyebabkan kebakaran mudah merebak ke kawasan berhampiran.
“Walaupun api merebak dengan begitu cepat, ia berjaya dikawal oleh skuad Pantas MPK bersama pihak bomba dan kerjasama ini banyak membantu operasi memadam agar ia tidak merebak dan mengelakkan skala kebakaran menjadi lebih besar.
“Pada masa sama,orang ramai juga harus berwaspada dengan situasi terkini jerebu yang berada di tahap membimbangkan dan dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar rumah yang boleh menjejaskan kesihatan masing-masing kelak,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.
Beliau berkata, orang ramai juga diminta supaya kerap membasuh muka dan bahagian yang terdedah kepada jerebu, selain dinasihatkan supaya minum banyak air serta menggunakan penutup hidung dan mulut bagi yang melakukan aktiviti di luar terutama mereka yang berisiko tinggi.
Selain itu, katanya, penduduk juga dilarang untuk melakukan pembakaran secara terbuka kerana ia mengakibatkan keadaan jerebu bertambah buruk dan mengakibatkan situasi sekarang lebih kritikal kepada umum.
-NFN-