Categories
SELANGOR

Lempar cat merah, bukti BN terdesak di Kajang

Oleh : NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 21 MAC: Usaha pihak tertentu melakukan provokasi dengan melagakan komponen Pakatan Rakyat (PR) gagal kerana rakyat mampu berfikir secara logik berkenaan tindakan tidak bermoral itu.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, berkata tindakan menggodam telefon bimbit beberapa pimpinan PKR dan melempar cat merah di papan iklan berlaku disebabkan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai modal untuk meyakinkan pengundi Kajang bagi menyokong parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan, pada 23 Mac ini.

Katanya, tindakan terbabit tidak akan berkesan kerana pengundi semakin bijak dan tahu menilai siapa sebenarnya dalang di sebalik perbuatan negatif berkenaan.

tian chua pc pkr 01“Kita belum menerima aduan daripada pengundi berhubung provokasi lain, tetapi petugas dan pemantau Pr sudah menerangkan kepada mereka berhubung situasi sebenar kejadian yang berlaku,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Tian Chua berkata, terdapat juga tindakan melampau pihak tidak bertanggungjawab apabila menampal pelekat DAP yang menutup papan iklan masjid bagi menimbulkan kemarahan pengundi Melayu.

“Perbuatan ini tidak masuk akal kerana DAP tidak ada kepentingan untuk beraksi begitu, apatah lagi bukan mereka yang bertanding pada PRK Kajang.

Fariz Musa“Tindakan tidak bermoral ini sengaja dicetuskan untuk timbulkan kesangsian dan kemarahan masyarakat Melayu terhadap DAP dan Pakatan Rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, di dalam akaun Twitternya menyatakan bahawa tindakan melempar cat merah di papan iklan BN itu sengaja dilakukan oleh orang upahan parti itu sendiri.

“Nampak sangat billboard BN disimbah cat dibuat oleh upahan BN. Ni la kerja utk buat propaganda murahan.” katanya dalam laman terbabit.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.