Oleh : NURUL FARINA NAZLAN
SHAH ALAM, 13 MAC : Aksi melampau kumpulan bomoh yang melakukan ritual dalam misi mencari pesawat MAS MH370 yang hilang sejak hampir seminggu lalu menjadi gurauan warga laman sosial.
Tinjauan Selangor Kini di laman Facebook mendapati pelbagai aksi sama dilakukan oleh kebanyakan pihak untuk dijadikan bahan lawak aksi khurafat itu.
Terdapat aksi tiga wanita yang dipercayai kakitangan hospital melakukan aksi sama yang semakin banyak dimuat turun di laman Facebook.
Aksi mereka mendapat komen daripada pengguna Facebook lain antaranya Nur Aini Farhana Annuar yang menyifatkan perbuatan petugas hospital itu kerana terikut ritual bomoh berkenaan yang terbang menggunakan permaidani bersama dua biji kelapa muda.
“Dah kena penyakit Raja Bomoh pulak dah staf hospital ni,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pemilik akaun Facebook, Asyiqul Kauthar turut memuat naik gambar tiga robot beraksi sama seperti ritual yang mendapat kritikan ramai.
“Dah start buat perangai lagi ni…Kreatif betul org Malaysia!!! Apa pun tahniah JAIS kerana memantau aktiviti melibatkan ritual di KLIA,” katanya.
Aksi ritual bomoh itu mendapat kritikan ramai dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melalui Naib Presidennya, Fadhlina Sidek turut mendesak pimpinan negara menghentikan khidmat bomoh dalam merungkai misteri kehilangan MH370 kerana perbuatan itu syirik dan khurafat.
Semalam, Ibrahim Mat Zin, 80, yang mendakwa dirinya ‘Raja Bomoh’ melakukan ritual ala-ala ‘tikar terbang’ bagi mengesan pesawat MH370 disertai dua lelaki yang memegang buah kelapa, namun tidak diketahui fungsinya.
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menghantar 15 pegawai dan anggotanya bagi menjalankan siasatan serta pantauan di Anjung Tinjau KLIA, kira-kira jam 9.20 malam semalam bagi menunggu kehadiran Ibrahim yang dikatakan bakal membuat ritual sekali lagi di kawasan berkenaan.