Categories
KENYATAAN MEDIA

Status terkini Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat 1 dan 3

STATUS TERKINI PELAN CATUAN BEKALAN AIR PERINGKAT 1 DAN 3

DI NEGERI SELANGOR, KUALA LUMPUR DAN PUTRAJAYA

Oleh : PRISCILLA ALFRED

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ingin memaklumkan perkembangan perjalanan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang sedang dilaksanakan masa ini.

Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama telah memasuki hari kelima belas dan pusingan kelapan, manakala bagi Pelan Catuan Air Peringkat Ketiga pula telah memasuki hari keempat dan pusingan kedua.

Pada masa ini, kedua-dua peringkat pelan catuan yang dijalankan berjalan dengan lancar mengikut jadual walaupun terdapat sesetengah kawasan pengguna yang lewat menerima bekalan air. Kejadian ini berlaku khususnya yang melibatkan kawasan di kedudukan tinggi, penghujung sistem bekalan air atau yang melibatkan sistem pengepaman dalaman atau pengepaman berperingkat. Pemantauan akan terus dilakukan khususnya di kawasan-kawasan berkenaan bagi memastikan para pengguna yang terlibat dengan program catuan bekalan air ini mendapatbekalan air seperti yangtelah dijadualkan.

 Seperti yang sedia maklum, Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama melibatkan 71 kawasan dengan 60,185 pintu rumah di wilayah Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang ekoran penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi disebabkan kandungan ammonia yang tinggi di Sungai Langat. Sehingga kini, bacaan kandungan ammonia pada kandungan air mentah adalah di paras 5.0ppm (part per million), iaitu melebihi paras kandungan yang dibenarkan iaitu 1.50ppm.

 Sementara itu, Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ketiga melibatkan 593 kawasan dengan 722,424 pintu rumah di enam (6) wilayah iaitu Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor adalah ekoran dari pengurangan pengeluaran air terawat di LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 2, LRA Sungai Selangor Fasa 3, LRA Rantau Panjang dan LRA Sungai Rasa ekoran keputusan Kerajaan Negeri Selangor mengurangkan pelepasan air mentah dari empangan Sungai Selangor sebanyak 500 Juta Liter Sehari (JLH), di samping pengurangan pengeluaran air terawat dari LRA Bukit Nenas ekoran keputusan Kerajaan Selangor untuk mengurangkan pelepasan air mentah sebanyak 30 JLH dari empangan Klang Gates.

Seperti yang telah ditekankan oleh SYABAS sebelum ini, TIADA penghantaran bekalan air melalui lori-lori tangki di semua kawasan catuan akan dilakukan kerana pelan yang dijalankan ini merupakan pelan yang menghadkan bekalan air mengikut jadual yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, pertimbangan untuk menghantar bekalan air kecemasan ini boleh dilakukan mengikut keutamaan seperti upacara kematian, kenduri, pusat dialisis, hospital (kerajaan / swasta) atau di rumah-rumah kebajikan.

 Pada masa ini, jumlah bekalan air yang boleh diagihkan kepada pengguna terpaksa dikurangkan sebanyak lebih kurang 600 JLH secara keselurhannya. Pengeluaran semasa pada 13 Mac 2014 adalah sebanyak 4,403 JLH jika dibandingkan dengan pengeluaran biasa dalam lingkungan 4,700 JLH. Dengan pengurangan bekalan air terawat sebenar pada 297 JLH, ini menunjukkan kadar pengurangan belum mencapai sasarannya. Oleh sebab itu, diharapkan agar para pengguna dapat bekerjasama sepenuhnya untuk mengurangkan penggunaan air dan terus berjimat cermat.

Dalam masa yang sama, para pengguna juga dilarang melakukan perkara-perkara yang tidak bertanggungjawab seperti melakukan kerosakan terhadap fasiliti dan infrustuktur bekalan air yang diuruskan oleh SYABAS termasuklah pada jajaran-jajaran paip kerana perbuatan ini boleh mendatangkan kesan buruk kepada pengguna selain SYABAS turut menanggung kerugian akibat vandalisme yang dilakukan. Perbuatan sebegini adalah satu kesalahan di bawah Akta Industri Pembekalan Air 2006 dan boleh dikenakan penalti yang tinggi.

Untuk mengetahui kawasan terlibat dan jadual catuan bekalan air , para pengguna disarankan untuk melayari laman web SYABAS (www.syabas.com.my) bagi mendapatkan maklumat lengkap berhubung pelan catuan yang dilaksanakan ini.

#Priscilla Alfres adalah Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam SYABAS

Leave a Reply

Your email address will not be published.