Categories
KENYATAAN MEDIA

Teks perbahasan Anwar Ibrahim usul menjunjung kasih ke atas titah Yang Di Pertuan Agong

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahir wabarukatuh.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Al-Maidah 5:8

Mukaddimah

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Terlebih dahulu, saya melafazkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan inayahNya saya berpeluang mengambil bahagian membahaskan Usul Menjunjung Kasih di atas Titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agung.

Dalam dewan yang mulia ini, saya ingin mempertegaskan pendirian Pakatan Rakyat bahawa kami menyatakan ikrar kesetiaan dan kasih tak berbelah bahagi kepada DYMM SPB Agong Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku AlHaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Pertama sekali, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan simpati dan keprihatinan saya selaku Ketua Pembangkang Parlimen yang mewakili kesemua Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat terhadap insiden yang berlaku ke atas pesawat MH370 Penerbangan Malaysia ke Beijing pada hari Sabtu, 8hb Mac 2014.

Penjelasan Boikot

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Seterusnya saya ingin mengambil kesempatan dalam dewan yang mulia ini bagi menjelaskan tindakan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat memulau beberapa acara tertentu pada hari pembukaan Parlimen pada hari Isnin, 10hb Mac 2014.

Pada hari tersebut, Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah bersepakat untuk bertindak:

i. Tidak memakai pakaian rasmi Parlimen (Dress Code No. 1)

ii. Tidak menyertai perbarisan istiadat pembukaan Parlimen

iii. Memulau Majlis Minum Petang DiRaja.

Sebagai kesinambungan protes, kami juga mengambil keputusan memulau sesi pembukaan perbahasan usul yang dibentangkan oleh pencadang Ahli Barisan Nasional dan penyokongnya pada hari Selasa, 11hb Mac 2014.

Alasan Boikot

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Kami mempunyai alasan yang kukuh mengapa tindakan tersebut diambil. Pemulauan ini adalah suatu pernyataan protes yang telah dimaklumkan terlebih awal kepada SPB Yang Di-Pertuan Agung melalui surat saya kepada baginda pada awal pagi 10hb Mac 2014.

Dalam surat itu, saya selaku Ketua Pembangkang dan mewakili pimpinan Pakatan Rakyat telah menyatakan kepada Tuanku bahawa:

i. Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan hadir acara Majlis Perasmian Sesi Titah Diraja pada hari Isnin, 10hb Mac 2014 sebagai menghormati takhta SPB Agong.

ii. Pakatan Rakyat telah merafakkan maaf kepada SPB Agong kerana tidak hadir ke Majlis Jamuan DiRaja selepas Majlis Perasmian Parlimen. Ini adalah kerana Pakatan Rakyat membantah cara pemerintah dan proses kehakiman yang dilihat amat tergesa-gesa dan bersungguh-sungguh untuk menghukum saya di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada hari Jumaat, 7hb Mac 2014.

iii. Pakatan Rakyat menyelar tindakan kerajaan yang dilihat merestui proses kehakiman yang pincang yang gopoh lagi melampau menghukum saya. Ini hanyalah bertujuan untuk menghalang saya daripada bertanding dalam PRK DUN Kajang dan ini merupakan pengkhianatan terhadap aspirasi rakyat yang mahukan perubahan yang lebih baik.

Sekali lagi saya ingin mengulangi pendirian Pakatan Rakyat bahawa kami menjunjung kasih dan taat setia kepada SPB Agong.

Saya memberi amaran kepada Barisan Nasional agar tidak memutarbelitkan pendirian kami ini.

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Pada hari semalam, media portal Malaysiakini melaporkan Timbalan Perdana Menteri mendakwa bahawa keputusan kehakiman ke atas saya tidak ada kena mengena dengan Barisan Nasional mahupun Kerajaan Persekutuan.

Ini adalah suatu kenyataan yang dangkal, yang cuba memutihkan tangan-tangan kotor yang berkonspirasi untuk mengaibkan saya dan menafikan keadilan terhadap diri saya serta menyekat agenda perubahan Pakatan Rakyat.

Tangan-tangan kotor ini telah sekian lama merencanakan konspirasi jahat lagi rakus dan zalim. Oleh yang demikian, saya tidak terkejut apabila pada hari Jumaat yang lalu Mahkamah Rayuan membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi yang telah membebaskan saya daripada tuduhan yang diatur sekian lama untuk mengaibkan peribadi saya.

Saya sedar dengan penuh yakin bahawa konspirasi politik peringkat tertinggi yang menghukum saya pada tahun 1998 dahulu kini berulang kembali dengan skrip yang usang.

Maka dengan itu, Pakatan Rakyat mengambil keputusan membantah sekeras-kerasnya cara pemerintah dan proses kehakiman yang menafikan keadilan dan proses kehakiman baru-baru ini.

Kami yakin wujud konspirasi politik dan persekongkolan aparat pemerintah untuk menghukum saya.

Konspirasi Politik

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Kami tidak syak lagi bahawa wujud konspirasi politik peringkat tertinggi sejak dari awal yang bertujuan memfitnahkan saya. Konspirasi ini telah bermula lebih awal daripada dakwaan palsu yang berupa fitnah yang terancang.

Pada 24hb Jun 2008, YAB Najib Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri sendiri mengaku bahawa beliau bertemu Saiful Bukhari Azlan.

Pertemuan itu diadakan di Kediaman Rasmi Najib Razak pada 26hb Jun 2008, iaitu dua hari sebelum dakwaan fitnah Saiful terhadap saya. Ia turut dihadiri Rosmah Mansur isteri Perdana Menteri dan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Kemudiannya, barulah disusuli dengan aduan polis yang dibuat oleh Saiful pada 28hb Jun 2008.

Menurut laporan Malaysiakini bertarikh 3hb Julai 2008, (TPM) Najib Razak mengaku bahawa Saiful datang menemuinya beberapa hari sebelum membuat aduan polis terhadap saya. Menurutnya lagi, Saiful menemuinya beberapa hari sebelum membuat aduan polis (28hb Jun 2008), bercerita mendakwa telah diliwat oleh saya yang didakwa Saiful berlaku pada 26hb Jun 2008.

Pendek kata, ia begini Tan Sri Yang Di-Pertua; “Hari ini jumpa Najib, kemudian esok lusa buat cerita diliwat lagi dua hari.”

Ini cukup menghairankan dan merupakan lawak lucu politik.

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Apakah tujuan dan motif pertemuan itu? Apakah ianya suatu kebetulan? Saya tidak dapat menerima sama sekali bahawa ianya adalah pertemuan yang disebutkan oleh Najib sebagai permohonan Saiful untuk mendapatkan biasiswa.

Ia tidak lain hanyalah suatu permulaan konspirasi terancang yang diatur dari awal untuk mengaibkan saya.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah adalah antara individu yang turut hadir ketika Saiful bertemu Najib Razak di kediamannya pada 24hb Jun 2008.

Shafee kemudiannya telah dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya mewakili Jabatan Peguam Negara.

Bagaimana, dan mengapa, Jabatan Peguam Negara yang bertanggungjawab secara langsung kepada Perdana Menteri boleh menerima dan melantik Tan Sri Shafee Abdullah sebagai Timbalan Pendakwaraya dalam kes saya? Sedangkan beliau jelas mempunyai kepentingan peribadi memfitnahkan saya.

Beliau juga mempunyai kaitan peribadi dengan beberapa individu pimpinan tertinggi UMNO.

Shafee pernah bertindak sebagai penasihat kepada Tun Dr Mahathir sewaktu pemecatan saya pada 1998.

Beliau adalah seorang peguam yang mempunyai hubungan rapat dengan UMNO, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamed, Tun Abdullah Badawi dan YAB Najib Razak berkenaan pelbagai isu termasuklah, yang paling mengejutkan berhubung dengan perlantikan hakim.

Peguam Shafee juga pernah bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada Dr Mahathir di dalam pelbagai kes, termasuklah kes terhadap saya yang jelas meletakkan beliau dalam kedudukan konflik.

Shafee juga turut didorong untuk memastikan bahawa saya disabitkan dengan pertuduhan liwat kerana beliau terlibat secara langsung sebagai peguamcara bagi beberapa personaliti berprofail tinggi yang telah disaman fitnah oleh saya dan bergantung kepada pembelaan justifikasi bahawa saya adalah homoseksual.

Beliau pernah mewakili Abdul Razak Baginda (kawan karib Najib Razak) dalam kes pembunuhan Altantuya.

Perilaku Shafee serius dipertikaikan apabila beliau gagal melaporkan salahlaku Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail berhubung kes Pulau Batu Putih dan kes mata lebam saya seperti yang disebutkan dalam Akuan Bersumpah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim.

Persekongkolan Aparat Pemerintah

(SPR & Badan Kehakiman)

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Selain daripada konspirasi politik peringkat tertinggi, saya amat yakin juga wujud persekongkolan aparat pemerintah secara terancang untuk menyekat saya daripada bertanding di Kajang.

Kerusi Kajang diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN Selangor pada 27hb Januari 2014. Susulan daripada itu, SPR mengadakan mesyuarat pada 5hb Februari bagi menetapkan hari penamaan calon pada 11hb Mac 2014 (semalam). Penamaan calon itu ditetapkan 34 hari kemudian daripada tarikh mesyuarat SPR.

Bandingkan Kajang dan Balingian. Balingian diisytiharkan kosong pada 27hb Februari 2014. SPR bermesyuarat pada 6hb Mac 2014 dan memutuskan tarikh penamaan calon DUN Balingian pada 17hb Mac 2014, iaitu 11 hari kemudian.

Kajang, penamaan calonnya 34 hari selepas SPR bermesyuarat. Balingian cuma 11 hari. Bukankah SPR boleh menetapkan hari penamaan calon PRK Kajang yang lebih awal?

Balingian, sebaliknya membuktikan SPR boleh menetapkan lebih awal. Mengapa Kajang ditetapkan begitu lewat sehingga 34 hari, satu jadual yang panjang yang luarbiasa.

Apakah motif dan muslihatnya, jika tidak kerana ianya bertujuan untuk memberi masa kepada pihak tertentu mengatur konspirasi menghalang saya daripada bertanding di Kajang.

Apa yang dilihat kemudiannya, kes saya ditetapkan di Mahkamah Rayuan pada 6hb dan 7hb Mac 2014, iaitu empat hari sebelum penamaan calon PRK Kajang.

Ada beberapa persoalan yang ingin saya bangkitkan:

a) Mengapa SPR lewatkan tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi PRK Kajang?

b) Apakah ianya suatu kebetulan Mahkamah Rayuan Putrajaya menetapkan tarikh prosiding empat hari (7 Mac 2014) sebelum penamaan calon pada 11 Mac 2014?

Saya dihukum sebelum hari penamaan calon yang sekaligus menjadi alasan hilang kelayakan saya di Kajang.

Segala yang berlaku menjelaskan konspirasi politik dan persekongkolan aparat pemerintah yang diperalatkan untuk menafikan harapan rakyat daripada perubahan dengan cara memusnahkan karier politik saya.

Amat nyata aparat kerajaan – SPR dan badan kehakiman – diperguna dan diperalatkan oleh konspirator politik bagi mengatur langkah kotor, jijik dan zalim terhadap saya. Dan caranya terlalu bobrok, jelek, rakus dan hina.

Hukuman Terhadap Karpal

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Rakan saya, Ahli YB Bukit Gelugor semalam dihukum denda RM4,000 di bawah Akta Hasutan 1948. Beliau dihukum semata-mata kerana memberi pandangan terbuka mengenai krisis Perlembagaan Negeri Perak, yang berentetan daripada kerakusan Barisan Nasional merampas kuasa dari Pakatan Rakyat di negeri Perak pada tahun 2008 dahulu.

Beliau didakwa dan dihukum di bawah satu undang-undang yang lapok yang diwarisi dari zaman penjajahan Inggeris. Ia bertujuan untuk menyekat, menghalang dan mencengkam kebebasan bersuara.

Tan Sri Yang Di-Pertua,

“Free speech when suppressed renders democracy to be meaningless.”

“Demokrasi hilang pengertiannya apabila kebebasan bersuara ditindas.”

Tindakan ini tidak lain hanyalah bertujuan untuk membenamkan kebebasan bersuara dalam sistem demokrasi negara ini yang semakin pudar. Hukuman yang dijatuhkan pasti mengakibatkan YB Ahli Bukit Gelugor akan terlucut keanggotaannya dalam Parlimen ini. Jika rayuan yang bakal dikemukakannya ditolak.

Perlembagaan Persekutuan Perkara 48 (1) (e), memperuntukkan bahawa seseorang Ahli Dewan Rakyat hilang kelayakannya jika disabitkan suatu kesalahan dalam mahkamah dengan hukuman penjara tidak kurang setahun atau didenda tidak kurang RM2,000 dan tanpa mendapat pengampunan.

Ini merupakan tindakan terbaru Barisan Nasional untuk melumpuhkan Pakatan Rakyat dengan cara memperalatkan undang-undang zalim dan aparat badan kehakiman yang gagal mempertahankan hak-hak asasi manusia dan nilai-nilai demokrasi.

Konsensus Nasional

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Pakatan Rakyat sudah berkali-kali mengusulkan diadakan dialog di antara pihak Pakatan Rakyat dan Kerajaan supaya membincangkan dan mencari jalan keluar daripada masalah-masalah utama yang merasuk negara seperti isu perkauman, jenayah dan kenaikan kos kehidupan rakyat.

Isu perkauman dan agama yang diapi-apikan oleh pihak-pihak tertentu semakin agresif dan mencabar kewarasan.

Ini perlu ditangani dengan serius. Oleh kerana itu, Pakatan Rakyat telah menawarkan dialog melalui gagasan “Konsensus Nasional” kepada Kerajaan.

Pada hari ini, saya ingin pertegaskan bahawa tawaran tersebut ditarik balik.

Keputusan ini diambil berikutan reaksi hambar dan kelesuan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak mempertahankan keadilan dan seterusnya menjerumuskan kepincangan ketara badan kehakiman.

Kesimpulan

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Ini mungkin ucapan perbahasan saya yang terakhir bagi Parlimen Ke-13. Kepada para konspirator, saya ingin menegaskan bahawa saya tidak gentar dengan permainan politik kotor, jijik dan amat terkutuk.

Saya yakin dan percaya rakyat tidak akan mudah terpedaya dengan politik murahan yang dicanangkan selama ini untuk memusnahkan karier politik saya dan menghalang kemaraan Pakatan Rakyat membebaskan Putrajaya daripada kebobrokan, kebejatan, kegelojohan dan kerakusan kuasa Barisan Nasional.

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Saya boleh dipenjarakan untuk lima tahun lagi. Saya sudah melalui dua tahun tahanan ISA. Saya sudah melalui ujian fitnah sehingga merengkok di dalam penjara selama enam tahun.

Jika tindakan Barisan Nasional ini bertujuan untuk melemahkan dokongan rakyat terhadap agenda reformasi, saya pertegaskan pada hari ini, dalam dewan yang mulia ini, kebangkitan rakyat adalah suatu yang pasti mampu merobohkan tembok kepalsuan, fitnah, kezaliman dan rasuah Kerajaan Barisan Nasional.

Saya dan mungkin ramai lagi rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat akan terhukum. Namun, saya yakin dan percaya kerakusan kuasa Barisan Nasional ini tidak mungkin berupaya memadamkan bara, api dan obor perjuangan rakyat.

Sekian, saya menyokong.
#Anwar Ibrahim adalah Ketua Pembangkang merangkap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Leave a Reply

Your email address will not be published.