Categories
SELANGOR

Terangkan isu air kepada rakyat, tidak salah guna media arus perdana – penganalisis politik, media

Oleh Nazli Ibrahim

SHAH ALAM 5 MAC: Tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim muncul dalam TV3 untuk menyebar maklumat berkaitan isu air kepada rakyat, bukan suatu kesalahan.

Bekas Ketua Pengarang Siasah, Mohammad Sayuti Omar, berkata penjelasan melalui stesen televisyen itu dapat mengelakkan kekeliruan berhubung penstrukturan semula industri air.

Beliau menyifatkan pelawaan stesen televisyen wajar diterima sekalipun dasar media berkenaan bertentangan dengan haluan parti tetapi ia boleh dimanfaat untuk kepentingan rakyat.

sayuti“Tidak jadi masalah. Tak jadi kesalahan sebab media adalah saluran untuk mana-mana pihak sekalipun. Lebih-lebih lagi dalam memberi maklumat kepada rakyat.

“Kalau untuk kebaikan dan dapat beri penjelasan kepada rakyat, elakkan kekeliruan, mengelakkan persepsi dan fitnah, wajar diterima,” katanya.

Abdul Khalid menyertai rakaman program ‘Soal Jawab’ bersama Datuk Seri Dr Maximus Ongkili di Sri Pentas TV3 semalam yang dijadual tersiar jam 11 malam ini

Apatah lagi, Sayuti berkata, Pakatan Rakyat tidak ada garis panduan atau peraturan jelas berhubung penampilan pemimpin mereka dalam media arus perdana.

Bagaimanapun, beliau menyarankan Abdul Khalid atau mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat supaya memastikan media terbabit tidak memanipulasi kenyataan mereka.

Sayuti yang dikenali dengan nama MSO adalah bekas pemilik akhbar Siasah sebelum media itu diambil alih dan menukarnya kepada akhbar mesra Umno BN.

Beliau juga dianggap penganalisis politik yang dilihat cenderung menyokong Pakatan Rakyat, selain banyak menghasilkan buku politik.

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.