Oleh: NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 8 APRIL: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim meminta Kerajaan Negeri menubuhkan ‘task force’ bagi menyelesaikan isu tanah penduduk di Bagan Nakhoda Omar.
Suee Lim dalam perbahasan menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) berkata, isu terbabit sudah dibangkitkan sejak lima tahun lalu.
Namun, sehinga kini, penduduk yang juga nelayan di kawasan itu tidak diberikan jawapan berhubung status tanah yang sudah diduduki lebih 50 tahun lalu.
“Status tanah rizab yang kini diduduki nelayan kaum Cina sudah diberitahu bahawa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid maklum berhubung perkara itu.
“Tetapi, perkara ini masih belum diberi perhatian sewajarnya. Sehubungan itu, kita mahu satu pasukan tindakan khas untuk menyelesaikan masalah ini supaya penyelesaian konkrit diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata, penduduk di kawasan itu layak untuk diberikan kawasan penempatan yang baru jika mereka tidak dibenarkan untuk tinggal di kawasan terbabit.
“Jika perkara itu tidak boleh diselesaikan, maka penduduk perlu dimaklumkan tetapi kita harap dimaklumkan secepat mungkin jika masih dalam tindakan juga,” katanya.
Sebelum ini, Abdul Khalid memaklumkan 3,252 ekar tanah rizab Melayu yang dirampas dan dijual oleh Umno-Barisan Nasional (BN) sejak mentadbir negeri itu berpuluh tahun dahulu masih belum diganti.
“Jadi, kita tetap berusaha untuk mencari tanah bagi menggantikannya, tetapi biar ia sepadan. Maknanya jika tanah itu di bandar, ia mesti diganti juga dengan kawasan yang sama,” katanya.
Abdul Khalid memaklumkan Kerajaan Negeri masih mencari tanah yang sesuai untuk digantikan.
“Apapun, kita mahu gantikan tanah terbabit biar sesuai. Kita mengikut dasar dan kaedah yang ditetapkan serta tidak mahu lepaskan begitu sahaja, yang mana kemudian baru mahu mencari tanah ganti,” katanya.
-NFN-