Oleh: NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 16 APRIL: Pemimpin Barisan Nasional (BN) cuba mengelabui mata rakyat Selangor dengan berlagak sebagai pendekar yang memperjuangkan hak rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Sue Lim, berkata realitinya BN hanya berjuang untuk keuntungan diri sendiri dan kepentingan politik.
“Isu ini berlaku sudah 40 tahun. Kita jangan lupa Sungai Panjang ketika itu adalah mantan Menteri Besar tetapi kenapa isu ini tidak diselesaikan.
“Ini kerana, cara penyelesaian BN mengambil kepentingan politik, bukan menyelesaikan masalah tanah bagi jangka masa panjang untuk kepentingan rakyat.
“Apabila Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) cuba menyelesaikan secara profesional, mereka cuba jadi hero dan pendekar konon perjuangkan rakyat miskin,” kata Sue Lim di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.
Sue Lim berkata demikian ketika mengulas dakwaan ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi bahawa Kerajaan Negeri mengambil alih tanah yang diterokai penduduk sejak 40 tahun lalu.
Katanya, Kerajaan Negeri wajar bertindak memastikan tanah terbiar diberikan kepada rakyat miskin yang mampu mengusahakan projek pertanian.
Beliau berkata, langkah itu dapat membantu golongan miskin yang berminat menjalankan kegiatan pertanian bagi meningkatkan sumber pendapatan, sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan tegar.
“Kalau tidak, kita asyik memberi wang sumbangan dan tidak membantu mereka. Cara terbaik adalah didik mereka berdikari.
“Langkah memberi wang hanya sekejap sahaja dan selepas itu sudah habis,” katanya.
-NFN-