SHAH ALAM 15 APRIL: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor hari ini mengesahkan tidak berlaku sebarang kebocoran radioaktif di sebuah kilang mengeluarkan sarung tangan perubatan di Rawang seperti yang tersebar di media sosial.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata khabar angin itu tersebar berikutan kebakaran kecil kira-kira 5.30 pagi tadi, melibatkan beberapa kotak sarung tangan di kilang yang terletak di kawasan perindustrian.
Katanya terdapat penyebaran maklumat palsu berhubung insiden itu dalam media sosial seperti WhatsApp yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Menurut Mohd Sani, Unit Bahan Berbahaya dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom mengesahkan tiada kebocoran radioaktif dikesan di kilang itu mahupun kawasan sekitarnya.
Lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Rawang tiba di lokasi pada 6.07 pagi, namun tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.
-BERNAMA