Categories
KENYATAAN MEDIA

Dr Irene Fernandez, pejuang martabat wanita, penegak keadilan

Oleh: Rodziah Ismail

Perjuangan menegakkan keadilan dan menumpaskan kezaliman sesama manusia mendiang Dr Irene Fernandez akan dikenang dan diteruskan

Pemergian beliau sama sekali tidak dijangkakan setelah menerima berita terkini semalam bahawa keadaan beliau bertambah baik, walaupun masih kritikal.

ireneMendiang Irene Fernandez, seorang sahabat yang dikasihi, adalah seorang aktivis yang telah melalui berbagai proses ujian dan pengalaman dalam usahanya menegakkan hak keinsanan dan keadilan untuk semua, khususnya dalam membela nasib wanita, khususnya wanita ladang, dalam aktivisme antipemerdagangan manusia dan mempertahankan hak wanita mangsa penderaan fizikal dan seksual.

Irene juga menjadi contoh pejuang yang mengangkat martabat wanita ladang, di mana WALA Selangor adalah entiti contoh di Negeri Selangor.

Pertembungan beliau dengan status quo dan mereka yang berkuasa bukanlah perkara yang asing, sehingga pernah ditahan di bawah ISA.

Di awal perjuangannya telah melaksanakan berbagai usaha advokasi, perlindungan dan pendakwaan untuk memberdaya rakyat ke arah menjadi asertif terhadap hak dan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.

Usaha-usaha beliau juga dihargai dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Kesabaran beliau dalam mencelikkan rakyat Malaysia terhadap apa yang menjadi milik dan hak mereka adalah terpuji.

Beliau juga tidak jemu mendidik lapisan baru aktivis untuk memiliki pengetahun dalam berbagai isu seperti perundangan, keganasan, perlindungan mangsa keganasan, strategi advokasi dan mekanismenya, kepekaan gender dan hak-hak pekerja rakyat Malaysia dan migran dalam bidang pekerjaan formal dan informal.

Beliau merupakan pengerusi Jawatankuasa Bertindak Antipemerdagangan Manusia Negeri Selangor (MAPMAS) sejak penubuhannya pada Januari 2010 yang lalu.

Sehingga kini telah mengendalikan ribuan kes yang dilaporkan kepada MAPMAS.

Usaha MAPMAS telah tercatit dalam laporan ATIP-US selama tiga tahun berturut-turut sejak penubuhannya.

Malaysia dan dunia telah kehilangan satu suara yang lantang dan tegas menentang pencabulan hak mereka yang lemah dan dieksploitasi.

Tetapi mendiang Irene Fernandez telah meninggalkan warisan lelaki dan wanita seperti beliau yang juga lantang dan tegas terhadap sebarang bentuk kezaliman.

Irene Fernandez akan dikenang kerana jasanya kepada umat manusia.

Takziah kepada suami, anak-anak dan seluruh keluarga beliau, semoga tabah menghadapi pemergian beliau ini.

Dengan linangan airmata,

*  Rodziah Ismail adalah ADUN Batu Tiga

Leave a Reply

Your email address will not be published.