Oleh: AFIX REDZUAN
PETALING JAYA, 16 APRIL: Jawatankuasa Pemilihan PKR 2014 (JPP) akan memutuskan sama ada memanggil dua Calon Timbalan Presiden, Datuk Saifuddin Nasution dan Azmin Ali selepas mereka tampil membuat kenyataan di dalam media pro-kerajaan.
Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul mengakui pihaknya ada menerima laporan berkenaan, namun masih belum mengambil keputusan untuk memasukkan perkara terbabit di dalam agenda perbincangan sehingga tarikh tutup proses bantahan pencalonan, pada 21 April ini.
“Saya ada terima laporan berkenaan perkara ini, cuma JPP masih belum memasukkan perkara ini di dalam agenda mesyuarat kami. Tunggu sehingga 21 April ini, baru kita akan putuskan berkenaan perkara terbabit tetapi buat masa ini masih belum ada sebarang agenda,” katanya di dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.
Johari berkata, pihaknya turut mnerima aduan daripada anggota parti berkenaan cara berkempen bagi calon di peringkat cabang yang menjelaskan bahwa perkara berkenaan bukan terfokus khusus pada jawatan di peringkat pusat sahaja.
Beliau berkata, namun pihaknya mengambil pendekatan yang lebih terbuka dalam menjalankan kempen selagi tidak melanggar peraturan yang ditetapkan perlembagaan parti yang melarang calon bercakap negatif berkenaan calon lain.
“Saya sebut berulang kali, JPP membuka ruang seluasnya untuk calon berkempen dengan cara yang sihat. Jelas saya katakan perkara itu asal tidak ada unsur pembelian atau dilihat sebagai unsur rasuah dengan memberikan wang.
“Jangan mengkritik secara negatif, kalau promosi tidak apa. Jika menjatuhkan air muka teman yang bertanding, kami akan siasat perkara itu,” katanya.
Kemunculan Azmin dan Saifuddin di dalam media arus perdana mengundang reaksi pelbagai daripada pihak yang berkenaan termasuk anggota parti.
-NFN-